Pemimpin, selebriti dan peminat bola sepak dunia ratapi pemergian Pele
Astro Awani
Disember 29, 2022 05:15 MYT
Disember 29, 2022 05:15 MYT
PEMERGIAN legenda bola sepak Pele pada Khamis menerima reaksi duka daripada kalangan peminat, pemimpin, dan juga selebriti di seluruh dunia.
Antara yang terawal menitipkan kata-kata ialah bekas Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.
"Pelé adalah antara yang terhebat pernah bermain permainan yang indah itu.
"Dan sebagai salah seorang atlet paling dikenali di dunia, mendiang memahami kuasa sukan untuk menyatukan orang ramai.
"Doa dan ingatan kami buat keluarga mendiang serta semua yang mengasihi dan mengaguminya," tulis Obama.
Bekas pelari pecut Usain Bolt turut menitipkan ucapan takziah kepada mendiang.
"Legenda sukan. Damailah kamu di sana, Raja Pele," tulis Bolt.
Pasukan kebangsaan England dalam tweetnya turut menyanjung kehebatan Pele dan mengungkapi kata-kata legenda bola sepak itu akan sentiasa dikenang.
"Antara yang terbaik menghiasi permainan yang indah.
"Selamat tinggal, Pelé. Anda tidak akan dilupakan," tulis tweet itu.
Kalangan pemain bola sepak juga tidak melepaskan peluang mengucapkan takziah buat pemain bola sepak tersohor dunia itu pagi ini, antaranya Leo Messi dan Cristiano Ronaldo.
Portal GOAL dalam pada itu menitipkan kata-kata Pele susulan kematian seorang lagi bintang bola sepak terkemuka dunia Diego Maradona dua tahun lalu.
"Satu hari nanti, saya harap kita dapat bermain bola sepak bersama di sana," tulis Pele pada 2020.
Pele meninggal dunia pada usia 82 tahun selepas bertarung dengan kanser kolon.
Dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat, Pele merupakan satu-satunya pemain yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali dan menjulang trofi itu pada 1958, 1962 dan 1970.