Pemimpin Scotland kembali ingati panggilan terakhir dengan keluarganya di Gaza

Astro Awani
November 19, 2023 06:30 MYT
Humza Yousaf tidak akan sesekali melupakan pesanan ibu mentuanya yang memintanya menjaga anak perempuannya. - Foto AP
LONDON: Ketika perang antara Israel dan Hamas memasuki hari ke-44, Menteri Pertama Scotland, Humza Yousaf kembali mengingati panggilan telefon yang dibuat beliau dengan keluarganya di Gaza, yang dipercayai mereka sebagai panggilan terakhir bagi mengucapkan selamat tinggal.
Mentua Humza meninggalkan kawasan perang awal bulan ini - melalui lintasan perbatasan Rafah - namun ketika diwawancara oleh Paddy O'Connell dari BBC Radio 4, Humza berkata, ada ketika keluarganya itu terfikir mereka akan meninggal di sana.
"Sejujurnya, saya tidak terfikir akan bertemu dengan mereka lagi seiring berjalannya waktu," katanya sambil memberitahu panggilan berkenaan diterima setelah beliau dimaklumkan kediaman jiran mentuanya akan diserang.
"Dia (ibu mentua) mula mengucapkan selamat tinggal kepada saya dan saya tidak akan sesekali melupakan dia meminta saya untuk menjaga anak perempuannya."
Abang ipar Humza - seorang doktor yang bekerja di Gaza pula telah mengirim pesanan teks yang menyebut dia "tidak pernah melihat kematian dan kehancuran seperti ini."
"Kata abang ipar saya, salah satu tugas awalnya ketika konflik mula tercetus ialah mencantumkan semula bahagian anggota tubuh mangsa dengan tubuh yang sebenar. Beliau melalui saat yang mengerikan."
#Perang Palestin-Israel #Menteri Pertama Scotland #Humza Yousaf #panggilan telefon terakhir
;