Pemimpin sayap kiri Perancis gesa Macron panggil NFP bentuk kerajaan
Astro Awani
Julai 8, 2024 10:30 MYT
Julai 8, 2024 10:30 MYT
PARIS: Presiden Perancis Emmanuel Macron mesti mengaku kalah dalam pilihan raya parlimen Perancis, di mana pakatan sayap kiri 'New Popular Front' (NFP) memenangi kerusi terbanyak walaupun tidak mencapai jumlah majoriti mutlak.
Itu gesaan ketua pemimpin sayap kiri dari parti, France Unbowed (France Insoumise), Jean-Luc Mélenchon, ketika pusingan akhir pilihan raya parlimen Perancis yang membawa kepada parlimen tergantung.
Melenchon, yang partinya adalah sebahagian daripada blok NFP, menggesa Perdana Menteri Gabriel Attal untuk meletakkan jawatan dan Macron harus memanggil NFP untuk membentuk kerajaan baharu.
Ketika ini, tiada parti atau gabungan yang layak membentuk kerajaan walaupun kumpulan sayap kiri NFP secara tidak dijangka menang kerusi terbanyak.
Dalam keputusan rasmi pilihan raya Parlimen Perancis, gabungan berhaluan kiri NFP memperoleh 188 kerusi di Dewan Negara.
Parti sentris Macron berada di tempat kedua dengan 161 kerusi.
Manakala sayap kanan dan sekutunya National Rally (RN) pimpinan Marine Le Pen, yang menang pada pusingan pertama, menduduki tempat ketiga dengan 142 kerusi.
Keputusan yang diunjurkan bermakna tiada parti memperoleh 289 kerusi yang diperlukan daripada majoriti keseluruhan 577 kerusi.
NFP terdiri daripada Parti Komunis, Parti France Unbowed, parti Green dan Parti Sosialis.
Namun, gabungan itu tidak menyatakan siapa yang akan menjadi perdana menteri sekiranya mereka layak membentuk kerajaan.