Pemimpin perang Israel tuduh Netanyahu tidak bercakap benar

Agensi
Januari 20, 2024 10:15 MYT
Gadi Eisenkot (kiri) menuduh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tidak menyatakan kebenaran mengenai matlamat tentera negara itu di Gaza.
TEL AVIV: Seorang anggota penting Kabinet perang Israel menuduh Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tidak menyatakan kebenaran mengenai matlamat tentera negara itu di Gaza.
Netanyahu secara terbuka menolak desakan Amerika Syarikat (AS) berhubung penubhan negara masa depan Palestin dan menegaskan serangan itu akan berterusan "sehingga kemenangan sepenuhnya" diperoleh tentera Zionis.
Bagaimanapun, bagi Gadi Eisenkot - yang anaknya terbunuh dalam pertempuran di Gaza mendakwa, pihak yang selama ini menyokong "kekalahan mutlak" Hamas tidak "bercakap benar."
Jeneral bersara itu juga dalam masa sama menegaskan, Netanyahu juga berkongsi “tanggungjawab yang sangat tegas dan jelas” kerana gagal melindungi negaranya pada 7 Oktober lalu (serangan Hamas) dan menggesa diadakan pilihan raya baharu berikutan sudah "tiada kepercayaan" lagi dalam kepimpinan semasa Israel.
Hamas didakwa oleh Israel membunuh kira-kira 1,300 orang dan menjadikan 240 tebusan dalam serangan mengejut mereka ke atas Israel selatan.
Ketegangan dalam kalangan Kabinet Israel bukan lagi rahsia berikutan terdapat laporan yang mendakwa Perdana Menteri Netanyahu dan Menteri Pertahanan, Yoav Gallant tidak lagi bercakap antara satu sama lain, susulan jurang antara Israel dan sekutu Baratnya semakin meluas.
Jurang itu mula dikesan selepas Netanyahu memberikan maklum balas mengenai penubuhan negara Palestin yang kemudiannya disusuli kenyataan Penasihat Keselamatan White House, John Kirby yang berkata, Amerika Syarikat dan Israel "dengan jelas melihat perkara yang berbeza."
Jurucakap Jabatan Negara AS berkata, tidak ada cara untuk menyelesaikan cabaran keselamatan Israel tanpa negara Palestin.
Menurut White House, Presiden AS, Joe Biden membincangkan penyelesaian dua negara dengan Netanyahu menerusi perbualan telefon pada Jumaat - iaitu panggilan pertama dalam masa hampir sebulan.
Apabila ditanya wartawan sama ada penyelesaian penubuhan dua negara mustahil dicapai selagi Netanyahu masih memegang jawatan, Biden berkata: “Tidak… tidak (itu tidak mustahil).”
Netanyahu, bagaimanapun, telah menghabiskan kerjayanya menentang negara Palestin dan bulan lalu beliau dengan bangganya mendakwa telah menghalangnya.
Sikap Netanyahu menyanggah pentadbiran Biden juga dalam masa sama akan meningkatkan tindakan
menjauhkan diri komuniti antarabangsa berikutan kematian di Gaza sudah mencecah lebih 25,000 nyawa.
AS telah berulang kali cuba mempengaruhi strategi ketenteraan Israel semasa konflik ini - menggesa lebih banyak serangan berpandukan sasaran yang tepat di Gaza berbanding dengan serangan udara; menangguhkan atau meninggalkan pencerobohan darat; dan terlibat dalam perbincangan yang lebih bermanfaat dalam penyelesaian dua negara yang akan menyaksikan Israel berjiran dengan Palestin pada masa depan beserta peranan untuk Pihak Berkuasa Palestin.
Bagaimanapun, gesaan-gesaan itu sering ditolak oleh Netanyahu semasa pertemuan yang cukup tegang dengan pegawai-pegawai AS, menambah kekecewaan dalam kalangan beberapa kalangan Amerika terhadap sokongan tanpa syarat Presiden Biden untuk Israel.
Di tengah-tengah peningkatan kematian dalam perang ini, sekutu Israel itu berharap kemakmuran dapat dikembalikan dalam rancangan dua negara yang tidak aktif sebagai satu-satunya cara untuk mewujudkan keamanan yang berkekalan.
Namun begitu, reaksi Netanyahu pula sebaliknya: kedudukan yang sudah pasti beliau harapkan akan lebih seiring dengan polisi pentadbiran masa depan Donald Trump dan yang mungkin telah sampai masanya untuk beliau membalas budi kenalan lamanya dari AS itu untuk meraih sebanyak mungkin sokongan daripada pihak-pihak yang pro-Israel dalam musim pilihan raya AS.
Dalam kalangan rakyat Israel, populariti Perdana Menteri semakin menurun dan beliau kini semakin bergantung harap kepada fraksi sayap kanan yang menyokong kerajaan.
Tinjauan yang diadakan baru-baru ini mendapati, hanya 15 peratus rakyat Israel mahu Netanyahu kekal dengan jawatannya selepas perang berakhir.
Dalam masa sama, kebanyakan rakyat Israel terus menyokong tindakan ketenteraan terhadap Hamas dengan majoriti mengutamakan misi membawa pulang baki 130 atau lebih tebusan, berbanding tujuan yang mungkin mustahil untuk memusnahkan Hamas.
Komen terbaruharu Netanyahu mengenai negara masa depan Palestin juga merupakan penolakan percubaan Arab untuk menjadi pengantara dalam konflik itu.
Arab Saudi sudah memberikan ikrar untuk mengiktiraf Israel jika isu Palestin diselesaikan.
Namun begitu, Perdana Menteri Israel nampaknya telah mempertaruhkan survival politiknya dengan mengambil pendekatan anti-Palestin yang tegas.
Dia tidak lagi boleh menjual dirinya sebagai "Mr Security" selepas serangan terburuk dalam sejarah Israel yang berlaku di bawah pentadbirannya.
Beliau kini adalah "Mr No Independent Palestine": jawatan yang beliau percaya akan menawan hati rakyatnya, walaupun keyakinan orang ramai pada Perdana Menteri sudah semakin hilang lantaran masih trauma untuk membayangkan negara Palestin sebagai jiran. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #Benjamin Netanyahu #Netanyahu tidak bercakap benar #Gadi Eisenkot
;