Pemimpin pembangkang Kemboja bukan ditahan, cuma jalani pemeriksaan biasa - Saifuddin

Bernama
November 10, 2019 12:10 MYT
Mu Sochua dilaporkan ditahan oleh Jabatan Imigresen bersama dua lagi warga Kemboja ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Rabu lepas. - Foto REUTERS
PEMIMPIN parti pembangkang Kemboja Mu Sochua tidak ditahan pihak berkuasa Malaysia sebaliknya cuma melalui proses pemeriksaan biasa di lapangan terbang, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Beliau berkata pemeriksaan itu mengikut standard operasi berikutan Kerajaan Malaysia telah menerima surat daripada kerajaan Kemboja untuk menghantar pulang tokoh-tokoh yang namanya tersenarai dalam surat itu.
" Sebenarnya semua (pemimpin parti pembangkang Kemboja) yang sampai di Malaysia bukan ditahan tetapi mereka melalui proses tertentu yang dipakai oleh pihak berkuasa kita di lapangan terbang, itu adalah SOP (prosedur operasi standard) yang lazim. Kemboja beri senarai nama tokoh-tokoh politik ini, sebab parti mereka telah diharamkan.
Mereka (kerajaan Kemboja) minta kalau tokoh-tokoh ini sampai (negara kita), dihantar balik ke Kemboja," katanya ketika ditemui Bernama selepas memberi ceramah kelompok sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di sebuah rumah di Kampung Teluk Kerang, dekat sini malam tadi.
Wanita berusia 65 tahun, yang juga Naib Presiden Cambodia National Rescue Party (CNRP) yang diharamkan di negara itu, dilaporkan ditahan oleh Jabatan Imigresen bersama dua lagi warga Kemboja ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Rabu lepas.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata pihak berkuasa telah memberi kebenaran kepada pemimpin pembangkang Kemboja itu memasuki negara ini kerana kerajaan Malaysia membuat keputusan tanpa sebarang desakan daripada mana-mana pihak.
"Kita membuat keputusan tentang apa yang berlaku dalam negara dan di sempadan negara kita tanpa desakan mana-mana pihak. Jadi apabila kes-kes sebegini berlaku kita ada proses tertentu, itu yang berlaku di lapangan terbang, mereka semua dibenarkan masuk ke Malaysia dan mereka bebas bertemu dengan teman-teman mereka dan sebagainya.
Kita ikut SOP dan tidak ikut apa yang dipohon oleh pihak Kemboja kerana kita buat keputusan nak hantar orang balik ke, nak benar orang masuk ke dan sebagainya itu mengikut pengiraan kita sendiri," katanya.
Minggu lepas, Thailand tidak membenarkan Sochua masuk ke negara itu apabila beliau tiba di lapangan terbang utama di Bangkok.
Beliau, kemudiannya menaiki penerbangan ke Indonesia, sebelum Kerajaan Kemboja meminta wanita itu ditahan selepas mengadakan satu sidang media di sana.
Dilaporkan, pihak berkuasa Kemboja tahun ini menahan sekurang-kurangnya 48 aktivis pembangkang berikutan dakwaan mengenai cubaan menggulingkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Hun Sen.
Puluhan aktivis pembangkang yang meninggalkan Kemboja kerana bimbang ditahan menyatakan kesediaan untuk pulang sebagai tanda sokongan terhadap pengasas CNRP Sam Rainsy, yang kini hidup dalam buangan.
-- BERNAMA
#Imigresen #kerajaan malaysia #KLIA #Malaysia #Mu Sochua #pembangkang #pembangkang Kemboja #Saifuddin Abdullah
;