Pemimpin pembangkang India Rahul Gandhi akan mulakan 'Perjalanan Keadilan' sejauh 6,200km

Bernama
Disember 27, 2023 21:52 MYT
Badan pembuat keputusan tertinggi parti Indian National Congress mahu Rahul menjelajah negara itu dari timur ke barat. - Reuters
NEW DELHI: Pemimpin pembangkang terkemuka India, Rahul Gandhi, akan memulakan perjalanan sejauh 6,200km meliputi 14 negeri untuk berkempen bagi keadilan sosial dan ekonomi.
Partinya, Indian National Congress (Congress) pada Rabu mengumumkan bahawa "Bharat Nyay Yatra" (Perjalanan Keadilan India) akan bermula di negeri terpencil Manipur, di timur laut pada 14 Jan dan berakhir di ibu kota kewangan Mumbai pada 20 Mac
Setiausaha Agung Congress K.C. Venugopal memberitahu media bahawa badan pembuat keputusan tertinggi parti itu mahu Rahul menjelajah negara itu dari timur ke barat mengikut corak "Bharat Jodo Yatra (perarakan perpaduan India) yang dilakukannya selama beberapa bulan sebelum ini).
Tidak seperti perjalanannya dari September-Januari sebelum ini, apabila Rahul berjalan sejauh 3,500 km dari Kanyakumari di selatan India ke Srinagar di Kashmir, perjalanan baharu itu akan menggunakan bas melalui 85 daerah di pelbagai negeri.
Rahul, 53, akan memberi tumpuan untuk berinteraksi dengan belia, wanita dan golongan masyarakat yang terpinggir semasa perjalanan itu, yang juga akan melibatkan beliau "berjalan kaki jarak singkat dari semasa ke semasa", menurut Venugopal.
Perjalanan itu akan meliputi negeri Manipur, Nagaland, Assam, Meghalaya, Bengal Barat, Bihar, Jharkhand, Odisha, Chhattisgarh, Uttar Pradesh, Madhya Pradesh, Rajasthan, Gujarat dan Maharashtra.
Perjalanan itu merupakan program hubungan massa untuk Congres menjelang pilihan raya penting negara itu sebelum Mei 2024.
-- BERNAMA
#Rahul Gandhi #pembangkang #politik #India
;