Pemimpin PBB bidas tindakan Israel larang UNRWA beroperasi di Palestin
Agensi
Oktober 29, 2024 14:02 MYT
Oktober 29, 2024 14:02 MYT
GAZA: Pemimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa negara Eropah memberi reaksi di media sosial selepas Parlimen Israel (Knesset) meluluskan undang-undang melarang Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) daripada beroperasi di negara itu dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Undang-undang baharu itu dilihat berkemungkinan memberi kesan kepada operasi agensi tersebut di Gaza.
Ketua UNRWA, Philippe Lazzarini berkata, larangan Israel ke atas operasi organisasi itu hanya akan menambahkan penderitaan rakyat Palestin, terutamanya di Gaza.
Sementara Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, pelaksanaan undang-undang itu boleh menyebabkan kesan menghancurkan.
Larangan itu turut mengejutkan beberapa sekutu Barat Israel yang bimbang akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan di Gaza.
Sementara itu, tuduhan rejim Zionis, agensi bantuan PBB itu diperalatkan oleh kumpulan pejuang Islam semakin meningkat sejak permulaan perang di Gaza berikutan serangan Hamas terhadap Israel pada 7 Oktober tahun lalu.
Terdahulu, Parlimen Israel mengharamkan UNRWA daripada beroperasi di Israel dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki, walaupun terdapat bantahan masyarakat antarabangsa.
Penggubal undang-undang meluluskan rang undang-undang (RUU) itu dengan 92 undi menyokong dan 10 menentang, selepas bertahun-tahun kritikan keras Israel terhadap UNRWA.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa petugas UNRWA yang terbabit dalam aktiviti pengganas terhadap Israel mesti bertanggungjawab namun bantuan kemanusiaan yang berterusan mesti kekal tersedia di Gaza. -- Agensi