Pemimpin mulakan hari terakhir G20 dengan lawatan ke memorial Mahatma Gandhi

Bernama
September 10, 2023 16:35 MYT
Pemimpin G20 melawat memorial yang didedikasi untuk pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, di New Delhi pada sebelah pagi. - AP
NEW DELHI: Kumpulan 20 negara ekonomi maju dan pesat membangun akan meneruskan perbincangan diplomatik mereka pada sidang kemuncak G20 di India pada Ahad tetapi tidak ada resolusi besar lain dijangka.
Perdana Menteri India Narendra Modi dan pemimpin G20 memulakan acara itu dengan melawat memorial yang didedikasikan untuk pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi, di ibu negara New Delhi pada sebelah pagi.
Karangan bunga kemudiannya diletakkan semasa upacara di tapak tersebut, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Presiden AS, Joe Biden, Canselor Jerman, Olaf Scholz, dan pemimpin dunia lain turut berhenti sejenak sebagai tanda penghormatan.
Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov, yang mewakili Kremlin kerana ketiadaan Presiden Vladimir Putin, juga menghadiri acara tersebut.
Ini berbeza dengan sidang G20 tahun lalu di Indonesia, yang juga dibayangi oleh perang Rusia terhadap Ukraine, yang bermula pada Februari 2022.
Pada penghujung sidang kemuncak dua hari itu, sesi kerja ketiga meja bulat akan diadakan di bawah moto "Satu Masa Depan", kata dpa.
Tujuannya adalah untuk membincangkan terma-terma konkrit tentang cara menangani isu seperti pembaharuan bank pembangunan dan organisasi kewangan antarabangsa.
Tiada keputusan bersama utama lain dijangka selepas pemimpin G20 mencapai kompromi pada Sabtu dan menyetujui deklarasi sidang kemuncak bersama.
Sekutu Barat Ukraine berunding mengenai perenggan perlunya semua negara untuk menahan diri daripada serangan terhadap integriti wilayah atau kemerdekaan politik negara lain. Selain itu, ancaman senjata nuklear Russia telah dikritik secara tidak langsung.
Diplomat melihat perkataan itu sebagai persetujuan terhadap tahap terendah yang umum - tetapi ia mencegah sidang itu daripada gagal.
Canselor Jerman Olaf Scholz menyifatkan kata-kata terakhir mengenai Ukraine dalam deklarasi bersama sebagai kejayaan.
--BERNAMA-dpa
#G20 #pemimpin dunia #memorial mahatma gandhi #Diplomatik
;