Pemimpin Korea Utara Kim Jung Un 'kagum' dengan industri pesawat juang Rusia

Bernama
September 17, 2023 12:07 MYT
Kim turut bertemu dengan juruterbang jet pejuang generasi kelima Su-57 dan menyaksikan penerbangan ujian. - Foto REUTERS
ANKARA: Pemimpin Korea Utara Kim Jung Un memuji industri pembuatan pesawat Rusia dan kagum dengan jet pejuang negara itu, lapor Agensi Anadolu memetik KCNA pada Sabtu.
Kim melawat Yuri Gagarin Aviation Plant di Komsomolsk-on-Amur di Rusia pada Jumaat.
"Sangat kagum dengan potensi dan kemodenan industri pembuatan pesawat Rusia dan usaha giat berterusan ke arah matlamat baharu," kata Kim.
Kim turut bertemu dengan juruterbang jet pejuang generasi kelima Su-57 dan menyaksikan penerbangan ujian.
Turut serta dalam lawatan itu Menteri Luar dan Pertahanan Korea Utara dan jeneral tentera.
Kim turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Vladimir Putin di pelabuhan angkasa Vostochny pada Rabu, sebelum menuju ke Vladivostok pada Sabtu untuk bertemu Menteri Pertahanan Sergei Shoigu, menurut media Rusia.
Pemimpin Korea Utara itu turut melawat lapangan terbang Knevichi di Vladivostok dan diberikan taklimat mengenai pesawat supersonik Su-34, Su-30SM, Su-35S dan Su-25SM3.
-- BERNAMA
#Korea Utara #kim jung un #Rusia #pesawat rusia
;