Pemimpin Korea Utara arah tingkatkan pengeluaran senjata nuklear

Bernama
Mac 28, 2023 21:05 MYT
Pemimpin Korea Utara itu menuduh musuh negaranya bersedia untuk menggunakan senjata nuklear "bila-bila masa dan di mana-mana sahaja." - Gambar fail/REUTERS
SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mengarahkan penghasilan senjata nuklear dipertingkatkan bagi memperkukuh sistem nuklear negaranya di tengah-tengah ketegangan di rantau ini, lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) pada Selasa.
Pada Isnin, Kim menyelia tugasan memasang kepala peledak pada peluru berpandu balistik dan mendengar laporan dari Institut Senjata Nuklear Korea Utara mengenai kemajuan yang dicapai sejak beberapa tahun kebelakangan, menurut laporan itu.
Pemimpin Korea Utara itu menuduh musuh negaranya bersedia untuk menggunakan senjata nuklear "bila-bila masa dan di mana-mana sahaja."
"Kita tidak seharusnya berpuas hati dengan pencapaian sedia ada dan harus terus berusaha untuk mengukuhkan tindak balas nuklear secara berterusan," agensi itu memetik Kim sebagai berkata.
Pemimpin Korea Utara itu menyatakan keperluan untuk memperluaskan penghasilan bahan nuklear dengan gred senjata serta terus menghasilkan senjata nuklear yang berkuasa bagi mencapai matlamat negara iaitu peningkatan eksponen dalam senjata nuklearnya.
Beliau menambah bahawa senjata nuklear negara itu tidak ditujukan kepada negara lain atau kumpulan tertentu, tetapi bersiap siaga terhadap perang dan bencana nuklear itu sendiri.
Arahan itu dikeluarkan di tengah-tengah latihan bersama antara Amerika Syarikat-Korea Selatan.
Pada Isnin, kapal pengangkut pesawat USS Nimitz dan kumpulan penyerangnya menjalankan latihan bersama dengan tentera laut Korea Selatan di perairan pulau Jeju.
--BERNAMA-SPUTNIK
#Kim Jong Un #UN #senjata nuklear #latihan bersama
;