Pemimpin Korea Selatan, China dan Jepun bertemu untuk dialog tiga pihak pertama sejak 2019
Bernama
Mei 26, 2024 05:45 MYT
Mei 26, 2024 05:45 MYT
SEOUL: Pemimpin Korea Selatan, China dan Jepun akan bertemu pada Ahad dan Isnin di Seoul untuk satu sidang kemuncak, memulakan semula dialog tiga pihak buat pertama kali sejak 2019, lapor Yonhap.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, akan mengadakan perbincangan dua hala berturut-turut dengan Perdana Menteri China, Li Qiang dan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, di pejabat presiden pada hari ini dan mengadakan sesi trilateral dengan kedua-dua pemimpin pada Isnin.
Ini menandakan sidang kemuncak tiga pihak pertama antara negara-negara Asia berkenaan sejak Disember 2019, selepas tertangguh akibat pandemik COVID-19 dan hubungan tegang Seoul-Tokyo berhubung pertikaian sejarah.
Semasa pertemuan dua hala dengan Li, Yoon dijangka membincangkan cara untuk mempromosikan komunikasi strategik, mengembangkan kerjasama ekonomi dan perdagangan, serta bertukar pandangan mengenai isu keselamatan.
Li tiba di Seoul sekitar tengah hari, yang menandakan lawatan pertamanya sejak menjawat jawatan pada Mac 2023. Li dan Yoon mengadakan pertemuan pertama mereka pada September 2023 di Indonesia semasa sidang kemuncak Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang terdiri daripada 10 negara anggota.
Dalam perbincangan dengan Kishida, Yoon berkemungkinan bertukar pandangan mengenai cara untuk mempereratkan kerjasama praktikal dalam pelbagai bidang dan memperkukuh kerjasama trilateral dengan Amerika Syarikat untuk mengekang ancaman Korea Utara.
Kishida tiba di Seoul pada petang. Ini menandakan lawatan pertamanya ke Korea Selatan dalam setahun.
Selepas pertemuan itu, Yoon merancang untuk menjadi tuan rumah majlis makan malam untuk delegasi dari ketiga-tiga negara.
Pada Isnin, ketiga-tiga pemimpin akan membincangkan enam bidang kerjasama: ekonomi dan perdagangan, pembangunan mampan, isu kesihatan, sains dan teknologi, pengurusan bencana dan keselamatan, serta pertukaran antara rakyat.
Mereka akan menerima pakai kenyataan bersama mengenai hasil sidang kemuncak itu.
Para pemimpin dijangka meneroka kerjasama dalam sektor ekonomi, perdagangan dan kesihatan sambil berusaha mengelak pergeseran kerana Seoul dan Tokyo yang lebih rapat dengan Washington di tengah-tengah persaingan yang semakin meningkat dengan Beijing.
Walaupun perbezaan mereka mengenai Korea Utara dan isu keselamatan serantau mungkin tidak dapat diselesaikan dalam pertemuan itu, pegawai Seoul berkata ia mewakili langkah penting dalam menghidupkan semula dialog trilateral untuk mengelakkan konflik dan meningkatkan kerjasama dalam sektor ekonomi, teknologi dan kesihatan.
Timbalan Penasihat Keselamatan Negara Korea Selatan, Kim Tae-hyo, berkata sidang kemuncak yang akan datang ini akan berfungsi sebagai "titik perubahan" untuk memulihkan dan menormalkan sidang kemuncak trilateral dan menyediakan peluang untuk memulihkan "kerjasama yang sesuai berorientasikan masa depan" antara ketiga-tiga negara.
-- BERNAMA