Pemimpin komunis Filipina Jose Maria Sison meninggal dunia
Faida Rahim
Disember 17, 2022 20:03 MYT
Disember 17, 2022 20:03 MYT
MANILA: Pemimpin komunis Filipina Jose Maria Sison meninggal dunia pada usia 83 tahun, semalam.
Memetik laporan CNA, Sison atau dikenali Joma dirawat di hospital Utrecht di Belanda selama dua minggu sebelum meninggal dunia.
Terdahulu, Sison merupakan pengasas Parti Komunis Filipina, sayap Tentera Rakyat Baru (NPA) yang melancarkan pemberontakan bersenjata dalam salah satu krisis paling lama di dunia.
Konflik antara NPA dan kerajaan Filipina telah mengorbankan lebih 40,000 orang.
“Golongan proletariat (pekerja) Filipina dan rakyat miskin bersedih atas kematian guru dan pembimbing mereka,” kata parti itu dalam satu kenyataan di laman webnya.
Pemimpin komunis itu tinggal di Eropah sejak penghujung 80-an selepas dibebaskan dari penjara berikutan kejatuhan diktator Ferdinand Marcos, yang mana anak lelakinya dipilih sebagai presiden dalam pilihan raya Mei tahun ini.
Nama Sison dimasukkan di dalam senarai pengganas Amerika Syarikat pada 2002 sekali gus menghalangnya daripada keluar negara. - Agensi