Pemimpin Hezbollah, Hamas bertemu di Lubnan di tengah-tengah ketegangan di Al-Aqsa

Bernama
April 10, 2023 12:32 MYT
Nasrallah (kiri) dan Haniyeh membincangkan perkembangan terkini Palestin, peristiwa di Masjid Al-Aqsa dan penentangan yang semakin meningkat di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
BEIRUT: Setiausaha Agung Hezbollah Hassan Nasrallah mengadakan perbincangan pada Ahad dengan ketua politik Hamas Ismail Haniyeh di tengah-tengah ketegangan di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, lapor Agensi Anadolu.
Keganasan meningkat di seluruh wilayah Palestin selepas tentera Israel secara paksa mengusir jemaah dari dalam kompleks Masjid Al-Aqsa minggu lalu.
Serangan Israel ke atas masjid itu mencetuskan bedilan roket dari Semenanjung Gaza dan Lubnan, dengan Israel kemudiannya bertindak balas dengan melakukan serangan udara dan meriam.
Menurut kenyataan Hezbollah, Nasrallah dan Haniyeh membincangkan perkembangan terkini Palestin, peristiwa di Masjid Al-Aqsa dan penentangan yang semakin meningkat di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.
"Rundingan itu juga menyentuh perkembangan politik serantau serta ketersediaan paksi penentangan dan kerjasama parti-partinya dalam menghadapi semua peristiwa dan perkembangan ini," menurut kenyataan itu.
Pemimpin Hamas-Hezbollah bertemu, siap siaga mahu lawan Israel
Paksi penentangan ialah pakatan anti-Israel di seluruh wilayah antara lain terdiri daripada kumpulan yang disokong Iran termasuk rejim Syria, Hezbollah, Hamas dan kumpulan Jihad Islam.
Haniyeh tiba di Lubnan pada Rabu untuk lawatan yang bertepatan dengan peningkatan keganasan di wilayah Palestin yang diduduki.
-- BERNAMA
#Hezbollah #Hamas #Masjid Al-Aqsa #Palestin
;