Pemimpin Hamas lawat Mesir bincang gencatan senjata baharu
Astro Awani
Disember 21, 2023 09:50 MYT
Disember 21, 2023 09:50 MYT
CAIRO: Pemimpin Hamas melawat Mesir buat kali pertama dalam tempoh lebih sebulan, pada Rabu.
Ia menandakan campur tangan peribadi yang jarang berlaku dalam diplomasi di tengah-tengah rundingan intensif mengenai gencatan senjata baharu untuk membolehkan bantuan sampai ke Gaza dan membebaskan lebih banyak tebusan.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, kali terakhir pergi ke Mesir pada awal November sebelum pengumuman satu-satunya gencatan senjata dalam perang Gaza setakat ini selama seminggu yang menyaksikan pembebasan 110 tebusan oleh Hamas.
Hamas berkata, pemimpinnya akan melawat Mesir dalam beberapa hari akan datang untuk membincangkan kemungkinan berakhirnya konflik itu.
Sumber yang diberi taklimat mengenai rundingan berkata, utusan sedang berbincang secara intensif mengenai tebusan yang masih ditahan oleh Hamas di Gaza boleh dibebaskan dalam gencatan senjata baharu dan apa balasan Israel.
Israel mendesak semua wanita yang dan lelaki lemah dalam kalangan tebusan dibebaskan, kata sumber itu.
Rakyat Palestin yang disabitkan dengan kesalahan serius boleh berada dalam senarai banduan yang akan dibebaskan oleh Israel.
Bagaimanapun, Pada Rabu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata, beliau tidak menjangkakan perjanjian pembebasan tebusan kedua-dua Israel-Hamas akan dicapai tidak lama lagi.
Undian Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai usaha untuk meningkatkan bantuan ke Semenanjung Gaza sekali lagi telah ditangguhkan atas permintaan Amerika Syarikat.
Hampir 20,000 kematian telah disahkan oleh kementerian kesihatan Gaza, dengan beberapa ribu lagi mayat dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.