Pemimpin Golkar ingkar keputusan parti, umum sokong Jokowi-Hatta

Agencies
Mei 21, 2014 21:06 MYT
Pemimpin Golkar ingkar keputusan parti, umum sokong Jokowi-Hatta
Krisis dalaman Parti Golkar terus memuncak apabila beberapa orang pemimpinnya secara terbuka melanggar ketetapan parti dengan menyatakan sokongan kepada calon Parti Demokrat Indonesia Perjuangan (PDIP) dan tidak mendukung calon pilihan Golkar untuk pemilihan presiden Indonesia nanti.
Pengerusi Golkar, Aburizal Bakrie pada Selasa mengiringi calon Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), bekas leftenan jeneral tentera, Prabowo Subianto dan calon timbalannya, Hatta Rajasa yang juga bekas Menteri Penyelaras Ekonomi mendaftar sebagai calon pemilihan presiden.
Pemimpin Golkar yang tidak bersetuju dengan Aburizal kemudiannya mengumumkan pendirian menyokong Gabenor Jakarta, Joko Widodo yang berganding dengan bekas Naib Presiden, Jusuf Kalla yang berganding sebagai calon PDI-P.
Antara yang berkerat rotan berpatah arang dengan Golkar ialah Indra J. Piliang yang mendedahkan beliau dan beberapa pemimpin muda Golkar akan mendukung gandingan Jokowi dan Kalla.
"Ada perbahasan dalam parti kononnya Kalla bukan lagi bahagian daripada Golkar. Bagaimana ini mungkin kerana beliau pernah jadi pengerusi parti? Kami tidak akan tinggalkan Kalla," kata Indra seperti dipetik akhbar The Jakarta Post.
Tambah beliau, dengan mengumumkan sokongan kepada Probowo, Aburizal telah mencabul keputusan mesyuarat pimpinan parti minggu lalu yang hanya memberikan mandat kepada beliau untuk jadi calon Golkar.
"Mesyuarat itu memberi mandat kepada Aburizal untuk sama ada jadi calon presiden atau naib presiden. Apabila itu tidak mungkin, beliau telah mentafsirkan mandat itu sebagai memberikannya kuasa untuk menentukan keputusan menentukan sokongan pakatan," kata Indra.
Bekas penganalisis politik di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) itu juga menegaskan pimpinan Golkar tidak pernah meminta Aburizal untuk "merayu" jawatan menteri daripada mana-mana kem sebagai syarat untuk menyatakan sokongan.
Aburizal pada Ahad mendapat tamparan hebat apabila cadangannya untuk Golkar mendapat beberapa kerusi menteri sebagai ganti sokongan kepada PDI-P ditolak oleh parti pimpinan bekas presiden, Megawati Sukarnoputri itu.
Aburizal kemudiannya mengemukakan cadangan sama kepada Gerindra. Parti itu menjanjikan dua kerusi menteri. Aburizal setuju.
Sementara itu, Kalla yakin ahli Golkar akan menyokong gandingannya dengan Jokowi biarpun parti itu secara rasmi tidak mendukung mereka.
"Ini adalah persaingan tokoh, bukannya parti. Saya bekas pengerusi Golkar. Sebagai ahli Golkar, adakah anda akan memilih pemimpin parti lain dan bukannya bekas pengerusi anda?" kata Kalla.
Selain Golkar, Gerindra kini mendapat sokongan daripada Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Persatuan Pembangunan (PPP), Parti Keadilan Sejahtera (PKS) dan Parti Bulan Bintang (PBB).
Dalam pada itu, pemimpin Golkar yang melanggar ketetapan parti dan tidak menyokong Prabowo-Hatta dijangka akan dikenakan tindakan disiplin termasuk pecat daripada jawatan atau parti. -- Agensi
#Golkar #Indonesia #Parti Demokrat Indonesia Perjuangan
;