Pemimpin G7 kutuk sekeras-kerasnya ujian nuklear Korea Utara
Bernama
Mei 28, 2016 08:18 MYT
Mei 28, 2016 08:18 MYT
Para pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) mengutuk sekeras-kerasnya ujian nuklear Korea Utara pada Januari tahun ini dan pelancaran senjata nuklear menggunakan teknologi peluru berpandu balistik, kata Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe.
"Pemimpin G7 berkongsi keazaman kuat untuk cuba membina dunia tanpa senjata nuklear dalam usaha mewujudkan dunia yang lebih baik, walaupun menyedari ia bukan tugas yang mudah," katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Abe, pengerusi Sidang Kemuncak G7 Ise-Shima juga menyatakan bahawa pemimpin G7 memainkan peranan penting dalam menangani isu-isu nuklear kepada dunia ketika senario keselamatan Asia kini semakin sukar.
Pernyataan Deklarasi Pemimpin G7 Ise-Shima yang dikeluarkan pada Jumaat mendesak Korea Utara segera mematuhi sepenuhnya semua resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC) yang berkaitan dan komitmen di bawah Kenyataan Bersama Rundingan Enam Pihak 2005, dan tidak menjalankan apa-apa lagi ujian atau pelancaran nuklear, atau terlibat dalam apa-apa tindakan yang boleh menggugat kestabilan atau tindakan provokatif.
Deklarasi menarik perhatian bahawa tindakan-tindakan ini melanggar beberapa resolusi UNSC dan menimbulkan ancaman besar kepada keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa.
Sementara itu, lawatan Presiden Barack Obama ke Hiroshima pada Jumaat menempa sejarah tersendiri dengan menjadi Presiden Amerika Syaikat yang pertama melawat Hiroshima sejak Amerika menggugurkan bom atom pada 1945, mengorbankan kira-kira 80,000 orang dan mempercepatkan Perang Dunia Kedua berakhir.
Semasa lawatan pada Jumaat, Obama meletakkan kalungan bunga di Taman Peringatan Keamanan Hiroshima di Hiroshima bagi menghormati mereka yang terkorban dalam Perang Dunia II, tetapi tidak akan meminta maaf bagi pengeboman, menurut laporan.
Selain Abe dan Obama, pemimpin G7 lain yang menghadiri Sidang Kemuncak G7 ialah Presiden Perancis Francois Hollande, Canselor Jerman Angela Merkel, Perdana Menteri United Kingdom David Cameron, Perdana Menteri Itali Matteo Renzi, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, Presiden Majlis Eropah Donald Tusk, dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Jean-Claude Juncker.