Pemimpin G7 gesa jalankan kajian cari punca sebenar COVID-19

Agensi
Jun 13, 2021 23:30 MYT
Pemimpin-pemimpin negara G7 berhimpun di Cornwall, United Kingdom untuk membincangkan isu-isu berbangkit terutamanya masalah yang dihadapi dunia ketika ini. - Gambar Reuters
CORNWALL: Pemimpin tertinggi negara-negara dalam kumpulan G7 menggesa kajian bagi mengenal pasti punca atau asal usul COVID-19 dilaksanakan, termasuk di China
Ia disuarakan dalam ucapan penggulungan sidang itu yang diadakan di Cornwall, United Kingdom.
Para pemimpin G7 dalam kenyataan akhir pada masa yang sama turut bersetuju untuk bersama menghentikan pelanggaran hak asasi manusia yang berlaku di China.
Sesi perbincangan yang diadakan secara tertutup pada sidang itu turut memetik Rusia tidak bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah yang berlaku di negara itu sehingga boleh mengakibatkan kerosakan sistem kritikal dunia.
Ujar mereka, setiap negara harus memberi penekanan untuk mengawal aktiviti jenayah yang berlaku dalam lingkungan negara mereka.
Selain isu tersebut, menerusi persidangan yang sama, Canselor Jerman, Angela Merkel antara lain turut menyentuh berkenaan pentingnya semangat baharu dalam kumpulan negara G7 dalam menyelesaikan masalah dunia ketika ini
"Sekarang lihat, pemilihan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat tidak bermakna dunia tidak akan mempunyai sebarang masalah lagi.
"Tetapi, kita boleh bekerjasama dalam menyelesaikan masalah dengan sentimen semangat yang baharu. Saya merasakan adalah satu langkah yang baik jika kita menjadi lebih perkasa ke hadapan selepas persidangan G7 ini," katanya.
Beliau terdahulu turut berharap kumpulan negara G7 memberikan mesej yang kuat untuk nilai-nilai multi-lateralisme.
Antara isu lain yang menjadi tumpuan dalam sidang G7 termasuk keutamaan mengisi dana tahunan $100 bilion yang bertujuan membantu negara-negara miskin menangani kesan pemanasan global.
Tahun ini, Perdana Menteri Britain Boris Johnson menjadi tuan rumah bagi persidangan tiga hari yang berlangsung di sebuah resort di Carbis Bay, Cornwall.
Sidang kemuncak G7 kali terakhir diadakan di Perancis dua tahun lalu. Bagaimanapun ianya ditangguhkan ke tahun ini setelah COVID-19 menghimpit dan memaksa penganjurannya di Amerika Syarikat dibatalkan.
Antara pemimpin G7 yang terlibat dalam persidangan ini adalah Amerika Syarikat, United Kingdom, Jerman, Perancis, Itali, Jepun dan Kanada.
#G7 summit #Cornwall #Pemimpin G7 #Boris Johnson #Angela Merkel #COVID-19
;