Pemimpin EU, Amerika Latin 'berbalah' berhubung pendirian perang Ukraine
Bernama
Julai 18, 2023 21:13 MYT
Julai 18, 2023 21:13 MYT
BRUSSELS: Pemimpin Kesatuan Eropah, Amerika Latin dan Caribbean berdepan tugas sukar untuk menetapkan pendirian bersama mengenai perang Rusia di Ukraine pada sidang kemuncak di Brussels, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) .
Negara-negara EU telah melobi untuk lebih bersolidariti dengan Ukraine dan berhasrat memasukkan kecaman perang dalam deklarasi bersama yang akan diterbitkan pada akhir mesyuarat.
Bagaimanapun, negara autoritarian sayap kiri Cuba, Venezuela dan Nicaragua - penyokong kuat Rusia - juga menyertai meja rundingan di Brussels."Adalah penting untuk mengatakan bahawa anda tidak boleh menulis semula sejarah bahawa Rusia menyerang Ukraine, itu fakta.
"Anda perlu berpegang pada kebenaran," kata Perdana Menteri Luxembourg Xavier Bettel, mengulas mengenai rundingan yang sedang berlangsung.
Perdana Menteri Ireland Leo Varadkar berkata beliau lebih suka untuk tidak membuat kenyataan bersama daripada "bahasa yang tidak bermakna apa-apa" jika merujuk kepada persidangan itu.
"Saya berasa agak pasti bahawa kita akan mencapai kesimpulan yang baik," kata Perdana Menteri Saint Vincent dan Grenadines, Ralph Gonsalves.
Beliau mempengerusikan kumpulan lebih 30 negara Amerika Latin dan Caribbean yang diwakili di Brussels.
Beberapa kuasa ekonomi yang lebih besar termasuk Mexico, Argentina dan Brazil, juga teragak-agak untuk menyokong Ukraine berbanding EU.
Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Argentina Alberto Fernandez telah mengutuk pencerobohan Rusia tetapi mengelak daripada mengenakan sekatan yang meluas ke atas Moscow.
Sebaliknya, pemimpin berkenaan berulang kali menekankan kesan perang, contohnya mengenai harga makanan dan tenaga di seluruh dunia. Ramai pemimpin Amerika Latin dan Caribbean menyeru kepada rundingan damai.
-- BERNAMA