Pemimpin dunia ucap tahniah kepada Lawrence Wong, Perdana Menteri keempat Singapura

Bernama
Mei 15, 2024 05:30 MYT
Wong berjabat tangan dengan Lee selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura keempat di Istana, Singapura, 15 Mei 2024. REUTERS
KUALA LUMPUR: Pemimpin dunia mengucapkan tahniah kepada Lawrence Wong atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri keempat Singapura.
Wong yang secara rasmi memegang jawatan itu setelah mengangkat sumpah di Istana, Singapura pada Rabu malam telah menerima pujian dari seluruh dunia, menonjolkan kedudukannya yang terhormat di pentas global.
Antara yang terawal mengucapkan tahniah kepada Wong ialah Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak, yang menyatakan optimisme terhadap masa depan hubungan bilateral antara kedua-dua negara.
"Tahniah kepada @LawrenceWongST. Selama beberapa dekad UK dan Singapura telah bekerjasama dalam perdagangan, keselamatan, dan teknologi, yang dipelopori oleh @leehsienloong. Saya tahu hubungan itu akan terus berkembang di tahun-tahun akan datang melalui Perkongsian Strategik kita," katanya dalam hantaran di X.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, di laman sesawang rasmi Jabatan Negara AS, juga menyampaikan ucapan tahniah kepada Wong atas jawatan baharunya itu.
"Kami menantikan kerjasama dengan Perdana Menteri Wong untuk terus memperkuatkan perkongsian strategik AS-Singapura dan menegakkan norma dan piawaian antarabangsa di rantau Indo-Pasifik dan di seluruh dunia.
"Kami juga akan terus memperkukuhkan hubungan ekonomi, keselamatan, dan antara masyarakat yang kuat demi manfaat rakyat Amerika dan Singapura," kata kenyataan yang memetik ucapannya.
Blinken juga mengucapkan terima kasih kepada Lee yang telah mengundur diri daripada jawatannya atas sumbangan besar beliau selama 20 tahun lepas, yang telah mengukuhkan perkongsian mendalam dan berkekalan antara negara-negara dan memajukan visi bersama untuk Indo-Pasifik yang stabil, selamat, dan makmur.
Sementara itu, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh pada Rabu mengutus surat tahniah kepada Wong yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu, menurut Agensi Berita Vietnam (VNA).
Wong, 51, menggantikan Lee Hsien Loong, 72, yang telah memimpin Singapura selama hampir 20 tahun.
Upacara yang disiarkan secara langsung di televisyen dan penstriman di platform media sosial, dimulai dengan lagu kebangsaan, "Majulah Singapura" diikuti dengan ucapan Presiden Tharman Shanmugaratnam.
Perdana Menteri yang baharu dilantik, dalam ucapan sulungnya, berkata kerajaannya akan memperkuatkan perkongsian "dekat dan jauh" sambil memajukan kepentingan negara di tengah-tengah persaingan dan ketegangan yang meningkat di arena antarabangsa.
-- BERNAMA
#Singapura #Lawrence Wong #Perdana Menteri Singapura #tahniah
;