Pemimpin dunia sampaikan ucapan takziah atas pemergian Presiden Iran Ebrahim Raisi
Bernama
Mei 20, 2024 17:25 MYT
Mei 20, 2024 17:25 MYT
NEW DELHI: Pemimpin dunia menyampaikan ucapan takziah dan menzahirkan kesedihan mereka atas pemergian Presiden Iran Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter di barat laut Iran pada Ahad lepas.
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dalam ucapan takziahnya, mengumumkan hari berkabung selepas Iran mengesahkan kematian Raisi, 63, Menteri Luar Hossein Amir Abdollahian dan pegawai-pegawai lain dalam nahas itu.
"Saya bersama kerajaan dan rakyat Pakistan menyampaikan ucapan takziah dan simpati mendalam kepada negara Iran atas kehilangan besar ini. Semoga roh-roh yang syahid ditempatkan di syurga. Rakyat Iran yang hebat akan mengatasi tragedi ini dengan keberanian yang biasa mereka tunjukkan," kata Shehbaz.
Pakistan berbesar hati dapat menerima kunjungan Presiden Raisi dan Menteri Luar Hossein Amir Abdollahian dalam lawatan bersejarah kurang sebulan lepas. Mereka adalah sahabat baik Pakistan," katanya.
[LAPOR LANGSUNG] Helikopter terhempas: Ebrahim Raisi, semua penumpang maut
Perdana Menteri India Narendra Modi dalam mesej takziahnya mengingati sumbangan Allahyarham Presiden dalam memperkukuhkan hubungan India-Iran.
"Ucapan takziah ikhlas saya kepada keluarganya dan rakyat Iran. India berdiri bersama Iran dalam masa kesedihan ini," kata Modi.
Kedutaan Iran di New Delhi menggambarkan Raisi sebagai "penyokong orang-orang tertindas di dunia."
Tragedi ini turut diratapi di Maldives dan seluruh Asia Selatan.
"Saya berdoa kepada Allah SWT agar memberkati roh Presiden Raisi, Menteri Luar Abdollahian, dan lain-lain yang kehilangan nyawa dalam kejadian malang ini dan memberikan mereka Syurga Firdaus. Ingatan dan doa kami bersama keluarga yang berduka dan rakyat Iran dalam waktu kesedihan yang mendalam ini," kata Presiden Maldives, Mohamed Muizzu.
Menteri Luar Maldives, Moosa Zameer, berkata Raisi adalah "seorang pemimpin berdedikasi yang akan diingati kerana kebijaksanaannya dan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk kemajuan Iran dan rakyatnya" dan memanggil Abdollahian "penyokong setia hubungan baharu antara Maldives dan Iran".
"Sri Lanka sangat terkejut dan sedih dengan kematian tragis Presiden Ebrahim Raisi, Menteri Luar Amir Abdollahian dan pegawai kanan Iran yang lain," kata Presiden Ranil Wickremesinghe dalam ucapannya.
Menteri Luar Sri Lanka, Ali Sabry, meluahkan rasa terkejutnya mengenai insiden itu.
"Saya mengingati banyak lawatan dan pertemuan dua hala antara negara kita, serta lawatan Presiden Raisi ke Sri Lanka bulan lepas," katanya.
Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan menyampaikan ucapan takziah kepada rakyat dan Kerajaan Iran dalam hantarannya di X.
"Saya menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Presiden Ebrahim Raisi, Menteri Luar Hossein Amir-Abdollahian, dan mereka yang menyertainya selepas kemalangan tragis ini.
Kami berdoa agar Allah memberikan mereka istirehat abadi dan kami bersimpati kepada keluarga mereka. UAE berdiri bersama Iran pada masa sukar ini," katanya.
Presiden Majlis Eropah, Charles Michel, dalam satu hantaran di X berkata:"EU menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Presiden Raisi dan Menteri Luar Abdollahian, serta anggota delegasi dan kru mereka dalam kemalangan helikopter. Ingatan kami bersama keluarga mereka".
-- BERNAMA