Pemimpin dunia, pakar puji Deklarasi Beijing oleh kumpulan Palestin

Bernama
Julai 24, 2024 19:00 MYT
Deklarasi Beijing mengenai menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan nasional Palestin dilihat sebagai "langkah positif tambahan" ke arah mencapai perpaduan Palestin. - Foto Reuters
BEIJING: Pemimpin dunia dan pakar memuji Deklarasi Beijing yang ditandatangani oleh 14 kumpulan Palestin, memuji peranan China dalam memudahkan perjanjian itu, lapor Xinhua.
Menurut Hamas, Deklarasi Beijing mengenai menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan nasional Palestin dilihat sebagai "langkah positif tambahan" ke arah mencapai perpaduan Palestin dan dianggap "penyelesaian nasional yang ideal dan paling sesuai" selepas konflik.
Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres "sangat mengalu-alukan penandatanganan Deklarasi Beijing oleh kumpulan-kumpulan Palestin," kata Stephane Dujarric, jurucakap ketua PBB dalam reaksi terhadap soalan semasa taklimat harian pada Selasa.
Menyifatkan perjanjian itu sebagai "langkah penting ke arah memajukan perpaduan Palestin," Dujarric berkata setiausaha agung "menggalakkan semua kumpulan untuk mengatasi perbezaan mereka melalui dialog dan menggesa kumpulan berkenaan untuk membuat susulan terhadap komitmen yang dibuat di Beijing dan deklarasi yang mereka tandatangani."
Dalam satu kenyataan pada Selasa, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perpaduan pelbagai kumpulan Palestin di bawah Deklarasi Beijing adalah langkah penting dalam mencapai hak dan kebebasan buat rakyat Palestin.
"Saya amat berharap bahawa deklarasi perpaduan ini benar-benar diterjemahkan di semua peringkat dengan jayanya, serta dalam menongkah tantangan di masa hadapan," katanya.
Seorang penyelidik yang berpangkalan di Kaherah dan pengarah eksekutif Forum Timur Tengah untuk Kajian Strategik dan Keselamatan Nasional, Abdel Mohdy Motawe berkata perbincangan di Beijing melibatkan 14 kumpulan Palestin dengan semua kedudukan mereka seimbang, sekali gus membentuk asas untuk menamatkan perpecahan.
Menurut penasihat Pusat Penyelidikan dan Kajian Arab yang berpangkalan di Kaherah Abu Bakr Al-Deeb, ia merupakan langkah penting ke arah mengakhiri perpecahan dan mengukuhkan perpaduan nasional dalam rangka kerja Pertubuhan Pembebasan Palestin, dengan penyertaan semua pasukan dan kumpulan Palestin dalam institusinya.
Pemimpin dunia dan pakar juga memuji usaha ikhlas China untuk menyokong hak rakyat Palestin, menamatkan perpecahan dan mewujudkan kedudukan bersatu dalam kalangan kumpulan Palestin.
Dalam satu kenyataan, ahli biro politik Hamas Hossam Badran menyatakan penghargaan yang tinggi terhadap usaha besar yang dilakukan oleh China untuk mencapai deklarasi itu, sambil menyatakan bahawa pengumuman berkenaan dibuat pada masa penting ketika rakyat Palestin menghadapi konflik berterusan, terutama di Semenanjung Gaza.
Bagi ahli akademik di Universiti Marmara yang berpangkalan di Istanbul, Baris Doster berkata Deklarasi Beijing menekankan kehebatan diplomasi China yang semakin meningkat dan peranan yang semakin dihormati dan berpengaruh di Timur Tengah, menunjukkan kemampuan Beijing untuk menghasilkan penyelesaian yang berkesan.
--BERNAMA-XINHUA
#Deklarasi Beijing #kumpulan Palestin #Hamas #fatah #peranan China
;