Pemimpin dunia mula hadir Sidang Kemuncak G20 di Rom
Astro Awani
Oktober 29, 2021 07:36 MYT
Oktober 29, 2021 07:36 MYT
MENJELANG sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Itali, pemimpin dunia sudah mula tiba di Rom pada Jumaat, untuk menyertai rundingan terbesar melibatkan pakatan itu.
Antara pemimpin yang awal tiba adalah Presiden Indonesia Joko Widodo, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez dan Presiden Brazil Jair Bolsonaro.
Agenda pemulihan ekonomi dijangka mendominasi sidang kemuncak kali ini.
Bagaimanapun, tuan rumah dilaporkan berharap pemimpin dunia akan berkongsi sasaran bagi mencapai pembebasan gas hijau sifar.
Ini sejajar dengan komitmen mengurangkan pembebasan gas metana.
Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis iklim juga mahu negara-negara G20 untuk memenuhi komitmen mereka menyediakan AS$100 bilion dolar dana setahun.
Dana ini bagi membantu negara miskin berdepan dengan impak pemanasan global.
Ditubuhkan pada 1999, G20 berperanan sebagai forum utama untuk kerjasama antarabangsa dalam isu kewangan dan ekonomi.
Ia terdiri 19 negara: Argentina, Australia, Brazil, Kanada, China, Perancis, Jerman, Jepun, India, Indonesia, Itali, Mexico, Rusia, Afrika Selatan, Arab Saudi, Korea Selatan, Turki, United Kingdom, Amerika Syarikat serta Kesatuan Eropah.