Pemimpin dunia kenang jasa Mandela
Azyyati Ahmad
Disember 6, 2013 10:47 MYT
Disember 6, 2013 10:47 MYT
Pemergian Mandela memberi kesan kepada beberapa pemimpin dunia dan selebriti terkenal yang turut melahirkan rasa sedih tak kurang juga mengimbas kembali jasa-jasa beliau.
Mandela meninggal pada usia 95 tahun di rumah beliau di Johannesburg pada Khamis selepas beberapa bulan menjalani rawatan kanser paru-paru.
Pemergian Mandela dilihat sebagai satu kehilangan yang besar buat dunia apatah lagi dengan sumbangan-sumbangan besar Mandela ke atas sejarah dunia.
Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama di dalam Twitternya menggambarkan Mandela adalah seorang pejuang keadilan yang tidak ada tolok bandingnya.
Perdana Menteri Britain, David Cameron adalah antara yang pertama mengungkap rasa sedihnya di Twitter.
Perdana Menteri Canada, Stephen Harper turut menulis di Twitter mengenai jasa Mandela.
Perdana Menteri Belgian, Elio Di Rupo menggambarkan Mandela sebagai seorang lelaki yang membawa harapan juga hero sebenar yang sentiasa memberi inspirasi kepada kita.
Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong merasakan sepanjang hayatnya, Mandela seorang pejuang kebebasan yang dikagumi jutaan orang.
Turut merasa terharu dengan pemergian ikon besar Afrika Selatan ini ialah selebriti- selebriti antarabangsa yang turut memuatnaik di Twitter masing-masing ucapan takziah dan kata-kata dalam mengenang dan mengagumi keperibadian Mandela.
Pengumuman kematian Mandela telah dilakukan secara rasminya oleh Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma pada Khamis.
“Negara kita telah kehilangan anaknya yang paling berharga dan rakyat kita telah kehilangan ayahnya” antara petikan ucapan Zuma.