Pemimpin de facto Syria ikrar berkecuali dalam hal ehwal Lubnan
Bernama
Januari 11, 2025 23:51 MYT
Januari 11, 2025 23:51 MYT
DAMSYIK: Pemimpin de facto Syria Ahmed al-Sharaa berikrar untuk bersikap berkecuali dalam hal ehwal Lubnan semasa sidang akhbar bersama dengan Perdana Menteri sementara Lubnan Najib Mikati yang sedang melawat negara ini pada Sabtu, lapor Xinhua.
"Kami akan kekal bersikap seimbang terhadap semua pihak di Lubnan," kata al-Sharaa dalam sidang akhbar itu. Beliau menyatakan kedua-dua pihak turut membincangkan isu seperti penyeludupan antara kedua-dua negara, cabaran sempadan, dan deposit Syria dalam bank di Lubnan.
"Kami membayangkan hubungan strategik jangka panjang yang dibina atas asas kukuh," katanya lagi.
Mikati menyuarakan sentimen serupa, menekankan hubungan erat antara kedua-dua negara.
"Selagi Syria dalam keadaan baik, Lubnan juga dalam keadaan baik," katanya, sambil berharap usaha Damsyik menangani krisis pelarian Syria dapat meringankan beban yang dihadapi Lubnan.
Mikati turut memuji kesediaan pihak berkuasa sementara Syria untuk bekerjasama, sambil menekankan perbincangannya dengan al-Sharaa merangkumi cabaran serantau dan cara mengukuhkan hubungan dua hala.
Kedua-dua pihak tidak mengumumkan sebarang perjanjian rasmi.
Hubungan antara kedua-dua negara jiran itu tegang dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Syria baru-baru ini mengenakan sekatan ke atas pergerakan rentas sempadan berikutan insiden keselamatan di kawasan sempadan. Sebelum ini, warga Lubnan boleh memasuki Syria tanpa visa hanya menggunakan dokumen pengenalan diri.
Kawasan sempadan itu juga menyaksikan beberapa siri pertempuran antara kumpulan bersenjata Syria dan pasukan tentera Lubnan, mengakibatkan kematian dalam kalangan anggota tentera Lubnan.
--BERNAMA-XINHUA