Pemimpin China, AS perlu tetapkan hala tuju tepat dalam hubungan dua hala

Bernama
November 14, 2022 05:30 MYT
Presiden AS Joe Biden tiba bersama Presiden China Xi Jinping bagi menghadiri mesyuarat G20 di Bali, Indonesia. - Foto AP
BALI: Presiden China Xi Jinping dalam pertemuan dengan rakan sejawatannya dari AS, Joe Biden pada Isnin di sini berkata sebagai pemimpin dua negara utama, mereka perlu menetapkan haluan yang betul dalam hubungan dua hala itu.
Bermula dengan hubungan awal serta jalinan hubungan diplomatik sehingga hari ini, China dan Amerika Syarikat telah melalui pelbagai peristiwa sepanjang lebih 50 tahun, dengan untung rugi serta pengalaman dan pengajaran, Xinhua memetik Xi sebagai berkata.
Sambil menyatakan bahawa sejarah adalah buku teks terbaik, presiden China itu berkata kedua-dua pihak wajar menggunakannya untuk mencerminkan diri dan biarkan ia membimbing kepada masa hadapan.
Pada masa ini, hubungan China-AS bukan berdasarkan kepentingan kedua-dua negara dan rakyat mereka, kata Xi, sambil menambah bahawa ia juga bukan seperti yang diharapkan oleh masyarakat antarabangsa daripada kedua-dua negara berkenaan.
Sebagai pemimpin dua negara utama, Xi berkata, kedua-dua presiden itu perlu memainkan peranan sebagai pemimpin, menetapkan haluan yang betul untuk hubungan China-AS dan meletakkannya pada trajektori yang lebih tinggi.
Seorang negarawan harus berfikir dan tahu ke mana hendak memimpin negaranya. Beliau juga harus memikirkan dan mengetahui cara untuk bergaul dengan negara lain dan dunia yang lebih luas, katanya.
Menegaskan bahawa pada masa dan zaman ini, perubahan besar berlaku dalam cara yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Xi berkata manusia berhadapan dengan cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini.
"Dunia telah sampai ke persimpangan jalan. Ke mana hendak pergi dari sini? Ini adalah persoalan yang bukan sahaja dalam fikiran kita, tetapi juga dalam fikiran semua negara," kata Xi sambil menyatakan bahawa dunia menjangkakan bahawa China dan Amerika Syarikat akan mengendalikan hubungan mereka dengan betul.
Mengambil maklum bahawa pertemuannya dengan Biden telah menarik perhatian dunia, Xi berkata kedua-dua pihak harus bekerjasama dengan semua negara untuk memberi lebih banyak harapan ke arah keamanan dunia, keyakinan dalam kestabilan global, dan dorongan yang lebih kuat kepada pembangunan bersama.
Xi berkata beliau bersedia untuk bertukar-tukar pandangan yang jujur dan mendalam dengan Biden mengenai isu-isu kepentingan strategik dalam hubungan China-AS dan isu-isu utama global dan serantau, sambil menambah beliau juga berharap dapat bekerjasama dengan Biden untuk membawa hubungan China-AS kembali ke landasan pertumbuhan yang sihat dan stabil untuk manfaat kedua-dua negara dan dunia secara keseluruhan.
-- BERNAMA
#Xi Jinping #Joe Biden #haluan betul #hubungan China-AS
;