Pemimpin Briged al-Qassam, Mohammed Deif masih sihat, boleh berjalan
Sinar Harian
Disember 22, 2023 11:50 MYT
Disember 22, 2023 11:50 MYT
PERSOALAN tentang keadaan sebenar 'sosok misteri' pemimpin kanan sayap bersenjata gerakan Hamas yang terus diburu Israel sejak sekian lama dan akhirnya terjawab.
Menerusi laporan media di Tel Aviv pada Selasa, maklumat risikan rejim Zionis yang digembar-gemburkan sebelum ini mendakwa Ketua Briged al-Qassam, Mohammed Deif kononnya terpaksa menggunakan kerusi roda dan berada di bawah jagaan jururawat.
"Mereka mendakwa Deif hanya boleh bergerak ke mana-mana dengan menaiki ambulans akibat cedera dalam salah satu kejadian cubaan bunuh dilancarkan Israel," jelas laporan Maariv.
Namun, salah sebuah rakaman video baru-baru ini menunjukkan Deif berada dalam keadaan sihat sejahtera malah boleh berjalan dengan sendiri.
Difahamkan, Deif memilih untuk tidak menonjolkan diri selama bertahun-tahun walaupun membuat kemunculan sekali-sekala.
Pada 2021, beliau pernah memberi amaran tegas kepada Israel tentang akibat dahsyat yang bakal dihadapi mereka jika tetap meneruskan rancangan mengusir penduduk Palestin dari kawasan kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.
Menurut Hamas, isteri dan bayi lelakinya terkorban dalam serangan udara rejim Zionis pada 2014 manakala salah seorang ahli keluarganya gugur syahid selepas kediaman keluarganya dibedil pada bulan lalu. - Agensi/ Sinar Harian