Pemimpin belia ASEAN, India bincang kaedah perkukuh kerjasama di Indo-Pasifik
Bernama
Februari 13, 2023 12:12 MYT
Februari 13, 2023 12:12 MYT
HYDERABAD: Seramai 175 pemimpin belia dari 10 negara anggota ASEAN dan India menghadiri Sidang Kemuncak Belia ASEAN-India Keempat yang bertemakan "Memperkukuh Perkongsian ASEAN-India di Indo-Pasifik", di sini pada Ahad.
Menteri Kesatuan India bagi Kebudayaan, Pelancongan dan Pembangunan Wilayah Timur Laut, G. Kishan Reddy dalam ucapan perasmiannya berkata sidang kemuncak itu yang berakhir pada Khamis ini boleh meneroka lebih lanjut kerjasama antara kedua-dua pihak terutama di bidang baharu.
Beliau berkata ini termasuk teknologi digital serta kemampanan dengan tumpuan kepada hubungan ekonomi, transformasi digital, keterangkuman kewangan, perubahan iklim, gaya hidup dan persekitaran selaras dengan Pelan Kerja Digital India-ASEAN 2022 yang diluluskan baru-baru ini.
"Pelan kerja itu termasuk pembangunan kapasiti dan perkongsian teknologi dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi seperti keselamatan siber, Internet benda (IoT), teknologi 5G, kecerdasan buatan dan bandar pintar," katanya.
Beliau berkata sidang kemuncak itu menyediakan platform untuk perwakilan daripada pelbagai latar belakang termasuk politik, media, badan pemikir, pendidikan, sains dan teknologi untuk meneroka inisiatif baharu dalam meningkatkan Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-India.
Perwakilan Malaysia, Yanitha Meena Louis memberitahu Bernama bahawa sidang kemuncak itu merupakan platform penting untuk melibatkan pemimpin belia dalam mengukuhkan hubungan pelbagai aspek ASEAN-India khususnya dalam meningkatkan kesalinghubungan dan pendekatan Indo-Pasifik.
"Bagaimana kita boleh meningkatkan kerjasama strategik dalam menangani kebimbangan yang sedang berlaku di dunia ini, dalam pascapandemik selain melihat persaingan China-AS," katanya.
Penyelidik di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia berpendapat bahawa kebangkitan orde Indo-Pasifik benar-benar memerlukan India dan ASEAN untuk bekerjasama rapat dalam pendekatan mereka menjayakan Inisiatif Lautan Indo-Pasifik India dan ASEAN Outlook mengenai Indo-Pasifik.
Sementara itu, Raoul Danniel Abellar Manuel dari Filipina berharap memperoleh lebih banyak pandangan daripada rakan sejawat di ASEAN dan India mengenai kaedah penyelesaian pelbagai masalah yang dihadapi oleh belia di negara masing-masing.
"Kami delegasi Filipina mahu berkongsi pelbagai pengalaman belia negara kami yang aktif di dalam dan di luar kerajaan bagi memastikan suara kami didengari dan diberi ruang untuk mengambil bahagian dalam pembangunan negara dan hal ehwal sivik," kata Maneul yang juga ahli Dewan Perwakilan Filipina.
Dianjurkan oleh kerajaan India dengan kerjasama Yayasan India dan Yayasan ASEAN, majlis perasmian sidang kemuncak itu turut dihadiri 16 petugas media dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.
Mereka berada di sini sempena Program Pertukaran Media ASEAN-India 2023 dari 9 hingga 15 Feb.
-- BERNAMA