Pemimpin Asia ucap tahniah kepada Trump atas kepulangannya ke White House

Bernama
Januari 20, 2025 07:15 MYT
Pemimpin-pemimpin Asia pada Isnin menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, atas kepulangannya ke White House, dengan komitmen untuk bekerjasama demi masa depan dunia yang lebih baik. - Gambar Reuters
KARACHI: Pemimpin-pemimpin Asia pada Isnin menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, atas kepulangannya ke White House, dengan komitmen untuk bekerjasama demi masa depan dunia yang lebih baik, lapor Agensi Anadolu (AA).
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese dalam mesejnya berjanji untuk bekerjasama dengan Trump dalam menghadapi "peluang dan cabaran yang mendatang."
"Tahniah @realDonaldTrump atas pelantikan anda sebagai Presiden ke-47 Amerika Syarikat. Amerika Syarikat adalah sahabat baik Australia. Perikatan kita tidak pernah lebih kukuh," tulis Albanese di X.
Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, juga menerusi X, mengucapkan tahniah kepada Trump dan menyatakan harapannya untuk "bekerjasama memperkukuh perkongsian Jepun-AS yang berkekalan serta mencapai matlamat bersama Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka."
Kerajaan Wilayah Hiroshima turut menyatakan hasrat menjemput Trump ke ibu kotanya sempena ulang tahun ke-80 serangan bom atom pertama dunia oleh AS.
"Anda satu-satunya yang mampu ... memimpin dunia ke arah penghapusan senjata nuklear, sekali gus menyelamatkan umat manusia daripada kengerian kemusnahan akibat nuklear," kata Gabenor Hiroshima, Hidehiko Yuzaki, dalam surat kepada Trump yang dihantar melalui Kedutaan AS di Tokyo, mengundangnya ke bandar yang musnah dalam pengeboman tahun 1945.
Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam mesejnya di X, mengucapkan tahniah kepada Trump atas pelantikannya sebagai Presiden ke-47 AS.
"Saya berharap dapat bekerjasama rapat sekali lagi untuk manfaat kedua-dua negara kita, serta membentuk masa depan dunia yang lebih baik. Selamat maju jaya untuk penggal yang berjaya," katanya.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif turut menyampaikan ucapan tahniah di X, dengan menyatakan harapannya untuk bekerjasama dengan Trump dalam memperkukuh "perkongsian AS-Pakistan yang berkekalan."
"Tahniah kepada @realDonaldTrump atas pelantikan sebagai Presiden ke-47 Amerika Syarikat," kata Sharif.
"Selama ini, kedua-dua negara kita telah bekerjasama erat untuk mendapatkan keamanan dan kemakmuran di rantau ini dan seterusnya untuk rakyat kita, dan kita akan terus melakukannya pada masa hadapan. Semoga berjaya untuk penggal kedua ini," katanya.
Presiden Maldives, Mohamed Muizzu berkata, negara itu berharap dapat bekerjasama dengan pentadbiran baharu AS untuk "memajukan matlamat bersama bagi keamanan global dan meningkatkan kerjasama dua hala yang saling membawa manfaat dalam penggal ini."
"Saya mendoakan kebijaksanaan dan keteguhan hati anda dalam menerajui tampuk pemerintahan pada saat dunia dilanda pergolakan dan ketidakpastian," tulisnya di X.
Menteri Luar New Zealand, Winston Peters pula mengucapkan tahniah kepada JD Vance atas pelantikannya sebagai Naib Presiden AS. - BERNAMA
#Donald Trump #angkat sumpah #Presiden AS ke-47 #White House
;