Pemimpin ASEAN mahu penyelesaian aman dalam isu Laut China Selatan
Bernama
Februari 17, 2016 08:31 MYT
Februari 17, 2016 08:31 MYT
Pemimpin-pemimpin ASEAN mengulangi pendirian mahukan satu penyelesaian damai terhadap tuntutan wilayah bertindih ke atas Laut China Selatan, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri Malaysia berkata isu itu mestilah diselesaikan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS).
“Semua pihak perlu mengekang diri, elakkan ketegangan meningkat di wilayah yang dipertikai," katanya kepada wartawan Malaysia di sini pada Isnin (Selasa di Malaysia) di akhir hari pertama Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin AS-ASEAN selama dua hari di sini.
Mereka hendaklah mengelak dari memberi ancaman dan menghormati Deklarasi mengenai Tata Laku (DoC) pihak-pihak di Laut China Selatan yang ditandatangani oleh ASEAN dan China pada 2002, yang membuka jalan bagi ASEAN dan China merangka Kod Tata Laku (CoC) sebagai garis panduan untuk mengelakkan sebarang pertelingkahan di kawasan itu.
Tuntutan bertindih itu melibatkan empat negara ASEAN - Brunei, Filipina, Malaysia dan Vietnam, selain China dan Taiwan.
Najib berkata beliau menonjolkan perkara itu semasa perbincangan antara 10 pemimpin ASEAN dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.
Katanya, semua pemimpin ASEAN berkongsi sentimen yang sama.
Beliau berkata adalah penting mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di samping kebebasan pelayaran dan penerbangan di ruang angkasa kawasan berkenaan.
“Penyelesaian itu tidak ditujukan kepada China saja. Kita perlukan peranan China secara positif dan produktif oleh kerana sebarang pertumbuhan ekonomi yang lembab di China akan memberi impak kepada ekonomi global,” kata beliau.