Pemimpin ASEAN capai lima konsensus selesaikan krisis di Myanmar

Faris Danial Razi
April 24, 2021 22:27 MYT
Menurut Pengerusi ASEAN 2021 iaitu Brunei, tindakan itu adalah sebagai meyakinkan pemimpin junta tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing untuk mencari jalan dalam mengakhiri keganasan yang berlaku ketika ini. - Reuters
KUALA LUMPUR: Hasil mesyuarat khas pemimpin ASEAN di Jakarta membuahkan hasil dengan satu konsensus untuk mewujudkan satu utusan khas ke Myanmar bagi menyelesaikan krisis yang berlaku di negara itu.
Menurut satu kenyataan rasmi Pengerusi ASEAN 2021 iaitu Brunei, tindakan itu adalah sebagai meyakinkan pemimpin junta tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing untuk mencari jalan dalam mengakhiri keganasan yang berlaku ketika ini.
Berikut adalah antara konsensus yang dicapai Pemimpin ASEAN sewaktu Pertemuan Pemimpin-Pemimpin ASEAN di Sekretariat ASEAN di Jakarta:
1) Pemberhentian segera keganasan di Myanmar dan semua pihak perlu memainkan peranan.
2) Melaksanakan dialog konstruktif antara semua pihak untuk mencari penyelesaian demi kepentingan rakyat.
3) Pelantikan utusan khas pemimpin ASEAN ke Myanmar untuk memudahkan proses dialog dengan bantuan Setiausaha Agung ASEAN.
4) Penyediaan bantuan kemanusiaan melalui Pusat Penyelaras ASEAN.
5) Utusan khas dan delegasi perlu melaksanakan pertemuan dengan semua pihak berkepentingan di Myanmar.
Dalam pada itu, Min Aung Hlaing bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Malaysia dan negara ASEAN lain untuk menyelesaikan krisis di Myanmar.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Aung Hlaing juga setuju supaya ASEAN menghantar wakil ke Myanmar untuk menilai situasi serta mencari langkah penyelesaian terbaik.
Muhyiddin berkata maklum balas Aung Hlaing itu memberi peluang untuk ASEAN memainkan peranan utama dalam menjayakan penyelesaian krisis yang melanda Myanmar.
Terdahulu, Pensyarah Ekonomi Politik Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Fajar Ikhsan berpendapat, kesediaan pemimpin junta Myanmar menyertai sesi dialog Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN kali ini, sebagai satu rasionalisasi positif bukan sahaja di pihak Myanmar tetapi juga negara-negara anggota ASEAN sendiri.
BACA: Hentikan pembunuhan, benarkan akses ASEAN ke Myanmar - Muhyiddin
BACA: Jeneral Myanmar setuju cadangan ASEAN bantu selesai krisis
BACA: Mesyuarat Khas ASEAN: Ada sisi positif kehadiran pemimpin junta Myanmar - Penganalisis
ASEAN | Mesyuarat Khas Pemimpin ASEAN di Jakarta
#Muhyiddin Yassin #ASEAN #Myanmar #Jakarta #Brunei #Perdana Menteri #ekonomi #politik #keganasan #tentera #rakyat #menteri #Malaysia
;