Pemimpin ASEAN bersidang, perangi COVID-19

Harits Asyraf Hasnan
April 14, 2020 15:59 MYT
Semua negara ASEAN digesa meneruskan kerjasama dan bersatu dalam menangani perbezaan seiring memastikan stabiliti dan kebajikan rakyat. - Foto AP
Para pemimpin 10 negara anggota ASEAN hari ini menghadiri satu Sidang Kemuncak Khas dalam mendepani pandemik COVID-19.
Sidang kemuncak khas yang julung kali yang diadakan secara dalam talian membincangkan berkenaan langkah-langkah kerjasama dalam bidang penjagaan kesihatan serta ekonomi.
Perdana Menteri Vietnam yang juga Pengerusi ASEAN 2020, Nguyen Xuan Phuc berkata pandemik tersebut telah memberi impak negatif yang cukup besar kepada sosial dan ekonomi semua negara terutama sektor perkhidmatan yang menyumbang 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN. 

“Kerjasama dalam penjagaan kesihatan, pertahanan, hal ehwal ekonomi dan pelancongan telah meningkat, bantuan kepada komoditi penting dan bekalan perubatan telah disalurkan kepada rakyat ASEAN yang memerlukan.
“Usaha kita untuk menangani pandemik ini telah membuahkan hasil yang menggalakkan dan penularannya dalam kawalan.
“Daripada 650 juta populasi, hanya 15,000 disahkan positif, lebih rendah daripada purata global,” katanya ketika memulakan persidangan pagi tadi.
Beliau turut menggesa semua negara untuk meneruskan kerjasama dan bersatu dalam menangani perbezaan seiring memastikan stabiliti dan kebajikan rakyat.
Mengikut statistik terkini, lebih 20,000 kes COVID-19 dilaporkan dengan 800 kematian dicatatkan.
Negara anggota telah mengamalkan penjarakan sosial selain menutup perniagaan dan perkhidmatan.
Pada sebelah petang, para anggota juga dijadual mengadakan mesyuarat ASEAN+3 iaitu melibatkan China, Korea Selatan dan Jepun.
#ASEAN #ASEAN COVID #COVID19 #kesihatan #koronavirus #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Vietnam
;