Pemimpin Arab seru hentikan genosid di Gaza, serangan terhadap Lubnan
Bernama
November 12, 2024 19:30 MYT
November 12, 2024 19:30 MYT
RIYADH: Pemimpin dan para pegawai Arab pada Isnin menuntut supaya genosid yang dilakukan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza dan pencerobohan terhadap Lubnan dihentikan segera, lapor Agensi Anadolu.
Seruan itu disuarakan semasa ucapan wakil-wakil dari Kuwait, Bahrain, Oman, Sudan, Mauritania, Liga Arab, dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada sidang kemuncak luar biasa Arab-Islam di Riyadh.
Sidang kemuncak itu membincangkan langkah-langkah untuk menamatkan genosid Israel di Gaza dan Lubnan, dan dianggap sebagai kesinambungan sidang kemuncak Arab-Islam yang diadakan di Riyadh pada November lalu, menurut kenyataan Kementerian Luar Saudi.
Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Al-Khaled Al-Sabah mengecam tindakan Israel di Gaza sebagai "genosid" dan "sasaran sistematik terhadap nyawa rakyat Palestin."
Beliau menegaskan bahawa Israel tidak seharusnya dibiarkan bertindak di luar undang-undang antarabangsa.
Timbalan Perdana Menteri Bahrain Khalid bin Abdullah Al Khalifa menegaskan bahawa peperangan yang berpanjangan di Gaza hingga merebak ke Lubnan telah memburukkan ketegangan dan peningkatan ketenteraan di rantau ini.
Beliau menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan tegas, memenuhi tanggungjawab kemanusiaan dan undang-undang, serta segera menghentikan permusuhan di Gaza dan Lubnan bagi mengelakkan krisis selanjutnya.
Sementara itu, Menteri Luar Oman Badr bin Hamad Al Busaidi berkata bahawa situasi tragis yang berlarutan di Palestin dan Lubnan telah meningkatkan ketegangan yang boleh menggugat kestabilan serantau.
Beliau berkata, kestabilan sebenar di rantau ini hanya dapat dicapai melalui visi komprehensif yang berasaskan keadilan dan hak.
Presiden Mauritania Mohamed Ould Cheikh Ghazouani turut mengulangi sentimen yang sama, mengkritik Israel atas kemusnahan berterusan dan genosid di Gaza di tengah-tengah tekanan antarabangsa untuk menamatkannya.
Beliau berkata bahawa gencatan senjata dan usaha memberi kemerdekaan yang sewajarnya kepada rakyat Palestin, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya adalah prasyarat bagi keamanan dan keselamatan yang berkekalan di rantau ini.
Ketua de facto Sudan, Abdel Fattah al-Burhan menyeru masyarakat antarabangsa mempercepatkan pelaksanaan penyelesaian dua negara, gencatan senjata dan mencegah perkembangan konflik, termasuk menghentikan pemindahan secara paksa penduduk Gaza dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai kepada mereka yang terjejas.
Berkongsi nada yang sama, Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam Hussein Ibrahim Taha mengutuk "pencerobohan tentera dan pembunuhan beramai-ramai" Israel di Palestin dan Lubnan, dengan gesaan agar gencatan senjata segera dan menyeluruh dilaksanakan.
Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit turut mengulangi sentimen itu, menuduh masyarakat antarabangsa gagal menghalang keganasan Israel yang memicu kitaran keganasan dari Gaza ke Lubnan, menggugat kestabilan rantau ini.
Beliau menekankan bahawa gencatan senjata segera di Gaza dan Lubnan adalah sangat penting, dengan sidang kemuncak itu menyampaikan mesej tegas bahawa bahawa keadaan kini berada pada tahap yang tidak dapat diterima lagi.
Pada bulan lalu, Arab Saudi menggesa sidang kemuncak Arab-Islam tergempar untuk menangani serangan berterusan Israel ke atas wilayah Palestin dan Lubnan serta situasi yang semakin meruncing di rantau ini.
Ketegangan serantau semakin meningkat akibat serangan ganas Israel ke atas Gaza, yang mengorbankan lebih 43,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Konflik kemudian merebak ke Lubnan, dengan lebih 3,200 orang terbunuh dan lebih 13,800 cedera dalam serangan Israel sejak tahun lalu, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.
Walaupun terdapat amaran antarabangsa bahawa Asia Barat berada di ambang perang serantau, Tel Aviv meningkatkan konflik pada 1 Okt dengan melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan.
-- BERNAMA