Pemimpin Arab desak Blinken pastikan gencatan senjata segera berlaku

Agensi
November 4, 2023 06:15 MYT
Dari kanan Antony Blinken, Ayman Safadi dan Sameh Shoukry mengadakan sidang media di Amman, Jordan pada Sabtu. – Gambar AP
AMMAN: Pemimpin-pemimpin Arab mendesak Setiausaha Negara, Amerika Syarikat, Antony Blinken, untuk segera memastikan berlaku gencatan senjata di Gaza beberapa jam selepas Palestin terus dibedil oleh Israel sehingga menyebabkan 15 orang terbunuh di sebuah sekolah yang dijadikan sebagai tempat perlindungan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam pertikaian yang jarang disebut secara terbuka, diplomat kanan Amerika Syarikat (AS) itu menegaskan, gencatan senjata hanya akan membuka ruang kepada Hamas kembali aktif dan terus melancarkan serangan ke atas Israel.
Blinken sebelum itu mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Mesir dan Jordan di Amman empat minggu selepas pejuang Hamas menyerang ke sempadan Israel, membunuh 1,400 orang dan mengambil lebih daripada 240 orang sebagai tebusan.
Sejak itu, Israel telah menyerang Gaza dari udara, menjalankan pengepungan, dan melancarkan serangan darat, menimbulkan kebimbangan global mengenai keadaan kemanusiaan di wilayah itu dan, menurut pegawai kesihatan Gaza pada hari Sabtu, membunuh lebih daripada 9,488 orang Palestin.
"Sekarang kita perlu memastikan perang ini dihentikan," kata Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi, dalam sidang akhbar tersebut.
Safadi menjadi yang pertama, yang mengulangi tuntutan dari semua negara Arab untuk gencatan senjata segera dilakukan.
Menurut Safadi, wilayah itu semakin tenggelam dalam "lautan kebencian" dan Jordan tidak menerima "pembunuhan yang tidak bersalah" dan kehancuran yang disebabkan oleh peperangan itu adalah "tindakan pertahanan diri."
"Ia tidak dapat dibenarkan di bawah sebarang alasan dan ia tidak akan membawa keselamatan kepada Israel," katanya.
Safadi menentang tindakan Islamofobia dan anti-Semitisme sambil menegaskan, bahawa konflik antara Israel-Gaza "bukan perang antara orang Islam dan Yahudi."
Sementara itu, Mesir menyeru gencatan senjata di Gaza dilaksanakan "tanpa sebarang syarat."
Menteri Luarnya, Sameh Shoukry berkata, semasa perbincangan dengan Blinken, beliau meningatkan mengenai "piawaian pilh kasih" dalam mengutuk serangan - seolah-olah "darah Arab" kurang bernilai berbanding yang lain.
Beliau turut menegaskan, sebarang perbincangan mengenai bagaimana masa depan Gaza tanpa Hamas akan kelihatan adalah "tidak matang."
Menurut Blinken, semua pihak bersetuju mengenai keperluan perdamaian dan status quo semasa di Gaza tidak boleh dikekalkan, namun, beliau mengakui, terdapat perbezaan antara Washington yang hanya menggesa diberi ruang untuk menyalurkan misi kemanusiaan ke Gaza dan sekutunya.
"Gencatan senjata sekarang hanya akan membiarkan Hamas kekal di tempat, berupaya untuk berkumpul semula, dan mengulangi apa yang dilakukannya pada 7 Oktober," kata Blinken, dalam lawatannya yang kedua ke kawasan ini sejak Israel dan Hamas memulakan peperangan.
"Tiada negara, tidak seorang pun daripada kita akan menerima itu."
Sebelum itu pada Sabtu, rakyat Palestin berkata, tentera Israel telah menyerang sekolah Al-Fakhoura di Jabalya iaitu kem pelarian yang melindungi ribuan pelarian.
Dalam maklum balas segera, tentera Israel mendakwa, berdasarkan siasatan awal, mereka tidak mengarahkan serangan ke tempat itu "tetapi letupan mungkin berpunca daripada tembakan IDF (Angkatan Tentera Israel) yang bertujuan ke sasaran lain. Situasi insiden itu sedang dikaji semula." - Agensi
#Perang Palestin-Israel #gencatan senjata #israel serang gaza #Antony Blinken
;