Pemimpin agama Pakistan dibunuh di Rawalpindi
Astro Awani
November 3, 2018 08:45 MYT
November 3, 2018 08:45 MYT
Ulama terkenal Pakistan, Maulana Sami-ul-Haq, juga dikenali sebagai Bapa Taliban, disahkan meninggal dunia pada Jumaat.
Media tempatan melaporkan beliau ditikam hingga mati di rumahnya di bandar Rawalpindi, utara Pakistan.
Anaknya, Maulana Hamid-ul-Haq, mengesahkan bapanya diserang dan ditikam di kediamannya oleh penyerang yang tidak dikenali.
Katanya, Sami-ul-Haq bersendirian di rumahnya ketika itu kerana pengawal dan pemandunya telah keluar.
Susulan kejadian itu, beliau dibawa ke sebuah hospital di Rawalpindi, tetapi kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Bagaimanapun, wujud beberapa laporan bercanggah mengenai kematiannya.
Motif serangan tidak diketahui.
Sami-ul-Haq merupakan ketua Madrasah Haqqnia di utara Pakistan, pusat pengajian kepada beberapa pemimpin utama Taliban, termasuk pengasasnya Mullah Omar.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap pembunuhan itu.