Pemimpin agama dunia isytihar perangi perhambaan dan pemerdagangan manusia

Bernama
Disember 2, 2014 07:27 MYT
Deklarasi itu menekankan bahawa semua orang adalah setaraf dan mempunyai kebebasan dan digniti yang sama, dan ini perlu diiktiraf oleh setiap orang dan setiap negara. -Gambar fail
Para pemimpin agama dunia buat pertama kali dalam sejarah, bergabung mengisytiharkan komitmen mereka untuk menghapuskan perhambaan moden dan pemerdagangan manusia menjelang 2020.
Menandatangani Deklarasi Bersama Pemimpin Agama menentang Perhambaan Moden di Casina Pio IV di sini, ialah tokoh-tokoh agama Kristian, Islam, Yahudi, Buddha dan Hindu.
Deklarasi itu menekankan bahawa perhambaan moden, dalam bentuk pemerdagangan manusia, buruh paksa dan pelacuran, pemerdagangan organ serta apa juga bentuk hubungan yang tidak menghormati pegangan asas - bahawa semua orang adalah setaraf dan mempunyai kebebasan dan digniti yang sama, dan ini perlu diiktiraf oleh setiap orang dan setiap negara.
Deklarasi itu juga menyarankan agar pemimpin agama bekerjasama menghapuskan jenayah ini.
Tokoh yang menandatanganinya ialah Paus Francis, yang mewakili Kristian Katholik; Orthodox diwakili oleh Metropolitan Emmanuel, Perancis; dan Kristian Anglikan oleh Ketua Uskup Canterbury Justin Welby.
Islam diwakili oleh Dr Abbas Abdalla Abbas Soliman bagi pihak Imam Besar Al Azhar Mohamed Ahmed El-Tayeb; Ayatollah Mohammad Taqi al-Modarresi, Sheikh Naziyah Razzaq Jaafar, bagi pihak Ayatollah Utama Sheikh Basheer Hussain al Najafi and Sheikh Omar Abboud.
Mata Amritanandamayi (Amma) mewakili Hindu, sementara Venerable Bhikkhuni Trich Nu Chan Khong, bagi pihak Zen Master Trich Nhat Hanh; dan Ketua Sami Tertinggi Malaysia Datuk K Sri Dhammaratana mewakili Buddha; dan Yahudi diwakili Rabbi Dr Abraham Skorka dan Ketua Rabbi David Rosen.
Acara itu hasil inisiatif Global Freedom Network (GFN) yang dibentuk Mac tahun ini, berlangsung serentak dengan Hari Penghapusan Perhambaan Dunia, yang disambut 2 Disember setiap tahun.
Menurut www.GlobalSlaveryIndex.org, kira-kira 35.8 juta orang dipaksa hidup dalam perhambaan di serata dunia hari ini.
Menurut Laporan Global mengenai Pemerdagangan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2014, dalam setiap tiga mangsa terdapat seorang kanak-kanak, sementara wanita mewakili 70 peratus daripada mangsa pemerdagangan.
#Buddha #Hindu #Islam #Kristian #pemerdagangan manusia #Vatican City
;