Pemimpin Afrika Timur gesa gencatan senjata di Sudan

Bernama
April 17, 2023 13:06 MYT
Para pemimpin Afrika Timur pada Ahad gesa pertempuran yang berterusan di Sudan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 56 orang dan mencederakan hampir 600 yang lain, dihentikan serta-merta. -Gambar fail/AP
NAIROBI: Para pemimpin Afrika Timur pada Ahad gesa pertempuran yang berterusan di Sudan yang mengorbankan sekurang-kurangnya 56 orang dan mencederakan hampir 600 yang lain, dihentikan serta-merta.
Pejabat Presiden Kenya berkata para pemimpin dari blok serantau dan Pihak Berkuasa Antara Kerajaan Mengenai Pembangunan (IGAD), yang mengadakan sesi maya tergempar pada Ahad menggesa permusuhan antara pihak yang terlibat dalam konflik di Sudan dihentikan segera, lapor Xinhua.
Pemimpin yang menyertai sesi tergempar itu terdiri daripada Presiden William Ruto dari Kenya, Salva Kiir dari Sudan Selatan, Yoweri Museveni dari Uganda, Ismail Omar Guelleh dari Djibouti, dan Hassan Sheikh Mohamud dari Somalia.
"Presiden William Ruto meminta pemimpin IGAD mengambil pendirian tegas terhadap krisis itu bagi memulihkan keamanan di negara itu," menurut presiden Kenya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Nairobi, ibu negara Kenya.
Para pemimpin berkenaan memutuskan untuk menghantar presiden Kiir, Ruto dan Guelleh untuk mendamaikan kumpulan yang berkonflik secepat mungkin.
Para pemimpin juga meminta kedua-dua pihak berkonflik di Sudan menyediakan koridor selamat untuk bantuan kemanusiaan di Khartoum, ibu negara Sudan, dan bandar-bandar lain yang terjejas.
Pertempuran ganas meletus pada Sabtu antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum dan bandar-bandar lain apabila kedua-dua pihak saling tuduh menunduh sehingga mencetuskan konflik itu.
Ketegangan antara kedua-dua pasukan tentera itu semakin memuncak sejak Rabu di wilayah Merowe di utara Sudan, selepas RSF menghantar kenderaan tentera ke lokasi berhampiran pangkalan udara tentera di sana, satu langkah yang dianggap tidak sah oleh tentera.
Perbezaan mendalam wujud antara tentera Sudan dan RSF, terutama mengenai integrasi RSF ke dalam tentera seperti yang ditetapkan dalam perjanjian rangka kerja yang ditandatangani antara pemimpin tentera dan awam pada 5 Dis 2022.
-- BERNAMA
#gencatan senjata #Afrika Timur #Presiden Kenya #pertempuran di Sudan
;