Pemimpin Afrika berhimpun di Tanzania bincang konflik timur Congo

Bernama
Februari 9, 2025 08:20 MYT
Presiden Kenya, Zimbabwe dan Pengerusi Pembangunan Komuniti Afrika Selatan dilihat pada persidangan bagi menamatkan pertempuran di timur Congo. - Foto AP
DAR ES SALAAM: Pemimpin beberapa negara Afrika berhimpun di Tanzania dalam usaha menamatkan pertempuran di timur Congo, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Bagaimanapun, pertemuan pada Sabtu di Dar es Salaam itu gagal mempertemukan secara bersemuka dua pemimpin utama dalam konflik berkenaan, iaitu Presiden Republik Demokratik Congo Felix Tshisekedi dan Presiden Rwanda Paul Kagame. Kagame menghadiri rundingan itu, manakala Tshisekedi menyertai secara sidang video.
Kerajaan Republik Demokratik Congo mendakwa Rwanda menyokong kumpulan pemberontak M23, yang menguasai sebahagian besar wilayah kaya sumber di Kivu Utara dan menyerang ibu negeri strategik wilayah itu, Goma, pada akhir Januari.
Sementara itu, kumpulan pemberontak berkenaan terus melancarkan serangan ke atas beberapa bandar di wilayah berjiran, Kivu Selatan, meskipun gencatan senjata telah diisytiharkan.
Presiden Tanzania Samia Suluhu Hassan menyambut kehadiran rakan sejawatnya pada Sabtu sambil menegaskan kepentingan mencari penyelesaian damai melalui rundingan.
Presiden Kenya William Ruto yang juga Pengerusi Komuniti Afrika Timur (EAC), menggesa supaya pertempuran dihentikan serta-merta, sambil menarik perhatian kepada ratusan ribu orang awam yang terjejas di zon konflik.
-- BERNAMA
#pertempuran #Congo #konflik #M23
;