PEMILU: Selepas 10 jam, pemeriksaan kesihatan Prabowo-Hatta akhirnya selesai

Fuad Misbah
Mei 23, 2014 11:51 MYT
Pasangan calon Presiden dan Wakil Presiden Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa sebelum menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Besar Angkatan Tentera Darat Gatot Subroto, Jakarta, Indonesia. - AFP PHOTO / Bay ISMOYO
Pasangan calon Presiden dan Naib Presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa telah selesai menjalani pemeriksaan kesihatan setelah berlangsung selama lebih dari 10 jam.
Pemeriksaan kesihatan mereka berdua selesai sekitar pukul 5:40 petang waktu Malaysia.
Diiringi oleh Pengarah Hospital Besar Angkatan Tentera Barat Gatot Subroto, Dr Douglas S Umboh, Ketua Pengarah Ikatan Dokter Indonesia (IDI), Dr Zaenal Abidin dan Pesuruhjaya Komisi Pemilihan Umum (KPU), Hadar Nafis Gumai, Prabowo dan Hatta telah bertemu dengan media di lobi hospital.
Di pertemuan itu, mereka berdua telah mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah terlibat melancarkan pemeriksaan kesihatan terbabit.
"Terima kasih banyak kepada IDI, kumpulan pemeriksa, Pengarah Hospital, serta yang lain atas usaha melancarkan pemeriksaan ini," kata Prabowo seperti yang dipetik daripada laporan portal berita Detik.
Prabowo juga berkata bahawa 14 jenis pemeriksaan telah selesai dilaksanakan selama 10 jam dan semuanya telah berjalan dengan lancar.
"Semua telah diperiksa, mudah-mudahan lulus semuanya," ucap Prabowo.
Tidak ketinggalan juga, pasangan Prabowo, Hatta Rajasa yang juga telah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat di sepanjang pemeriksaan ini dijalankan.
"Kami berbangga dengan pihak hospital. Layanan dan perkhidmatan yang diberikan bertaraf dunia dan kami sangat berterima kasih dan berbangga," kata Hatta.
Keputusan pemeriksaan kesihatan semua calon Presiden dan Naib Presiden akan diserahkan oleh IDI kepada KPU untuk diproses Sabtu ini.
Pihak KPU akan memproses keputusan status semua calon akan diumumkan minggu depan, lapor Kompas.com
Sekiranya ada calon yang tidak lulus permohonannya, maka pihak parti politik yang terbabit akan diberi masa selama 3 hari untuk mengajukan calon pengganti yang baru.
#Hatta Rajasa #Indonesia #pilihan raya presiden #Pilpres #Prabowo Subianto