PEMILU: Gandingan Prabowo-Hatta lemah di Indonesia Timur kata penganalisis
Fuad Misbah
Mei 22, 2014 17:41 MYT
Mei 22, 2014 17:41 MYT
Gandingan calon Presiden dan calon Naib Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Hatta Rajasa dijangka akan menghadapi masalah untuk memenangi hati rakyat wilayah timur republik itu kerana tokoh-tokoh dan kumpulan yang membantu kempen mereka tidak ada yang mewakili wilayah tersebut.
Pengarah Eksekutif Indo Barometer, Muhammad Qodari menilai tiada tokoh atau pemimpin yang mewakili wilayah Indonesia timur akan menjadi salah satu kelemahan gandingan ini.
"Ini adalah kelemahan bagi Prabowo-Hatta yang mungkin belum disedari," kata Qodari seperti yang dilaporkan oleh Detik.com.
Walaupun Mantan Ketua Angkatan Tentera Darat George Toisuta tersenarai sebagai salah seorang jurukempen gandingan tersebut mewakili wilayah Maluku, namun populariti beliau masih kurang.
Menurut Qodari lagi, Prabowo dan Hatta seharusnya mengambil kesempatan terhadap gabungan mereka dengan Parti Golongan Karya (Golkar) kerana tingginya populariti parti itu di wilayah tersebut.
Usaha untuk memenangi hati rakyat Indonesia Wilayah Timur dijangka sukar kerana Jusuf Kalla (JK), calon Naib Presiden yang berganding dengan Joko Widodo (Jokowi) dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) sangat disegani dan dihormati di sana.
Sementara itu, seperti yang dilaporkan oleh portal berita Kompas.com, penganalisis politik Universiti Pattimura Ambon, Josef Antonius Ufi berkata Jusuf Kalla sangat disegani kerana jasa besar beliau dalam mengamankan tragedi sengketa antara agama yang telah terjadi di Maluku pada tahun 1999 lalu.
"JK diterima oleh semua kalangan kerana kerana jasa beliau di Maluku. JK berjaya menyatukan semua rakyat Maluku yang tidak boleh dilakukan oleh pemimpin lain, " kata Josef.
Tambahan pula, ramai ahli-ahli Golkar telah menyuarakan sokongan mereka terhadap gandingan pasangan Jokowi-Jusuf Kalla meskipun Ketua Umum Golkar, Aburizal Bakrie telah secara rasmi menyuarakan sokongan Golkar terhadap Prabowo dan Hatta.
#Aburizal Bakrie
#Golkar
#Hatta Rajasa
#Indonesia
#Joko Widodo
#Jusuf Kalla
#pilihan raya presiden
#Pilpres
#Prabowo Subianto