Pemilu 2024: Siapa Prabowo Subianto? Kemungkinan Presiden baharu Indonesia
Afiezy Azaman
Februari 15, 2024 11:50 MYT
Februari 15, 2024 11:50 MYT
JAKARTA: Dipecat daripada tentera di tengah-tengah spekulasi pencabulan hak asasi, dibuang negera ke Jordan dan pernah diharamkan dari Amerika Syarikat, Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto kini bersedia untuk menjadi pemimpin negara itu pada percubaan ketiganya untuk jawatan itu.
Prabowo, 72, dijangka meraih kemenangan dengan kiraan yang kelihatan tidak dapat diatasi dalam pengiraan undi tidak rasmi pada Rabu.
Beliau mendapat sokongan daripada bekas pesaingnya, Presiden Joko Widodo dan anak presiden yang sangat popular itu sebagai pasangannya calon Naib Presiden.
"Kemenangan ini sepatutnya menjadi kemenangan untuk semua rakyat Indonesia," kata Prabowo pada Rabu malam, apabila beliau mempunyai kira-kira 58 peratus undi berdasarkan undi yang dikira dalam sampel pusat mengundi di seluruh negara.
Bekas komander pasukan khas itu telah melalui transformasi imej yang luar biasa sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan pada 2019.
Menurut penganalisis, dalam tahun-tahun kebelakangan ini, beliau telah memupuk keperibadian negarawan yang lebih berkarisma daripada nasionalis yang berapi-api yang beliau gambarkan sebelum ini.
Dan semasa kempen itu, avatar kartun Prabowo buatan kecerdasan buatan (AI) yang berpipi montel sambil membuat gaya jari 'Love' Korea dan memeluk kucing kesayangannya, Bobby, menarik minat Gen Z.
Daripada keluarga elit Indonesia dan pernah menjadi menantu kepada mendiang Presiden Suharto, Prabowo telah lama dituduh terlibat dalam penculikan aktivis pelajar pada 1998 dan pencabulan hak asasi manusia di Papua dan Timor Timur.
Tuduhan itu tidak terbukti dan Prabowo sentiasa menafikan sebarang berita itu.
Keputusan 'kiraan pantas' tidak rasmi undian telah menunjukkan penjenamaan semula beliau telah berjaya.
Dalam pada itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo, kelihatan memberi isyarat sokongankepada musuh ketatnya Prabowo yang pernah ditewaskannya pada pilihan raya 2014 dan 2019.
Dengan anak lelakinya yang berusia 36 tahun sebagai kemungkinan Naib Presiden, Jokowi mungkin berusaha untuk mengekalkan pengaruh dalam kerajaan, kata penganalisis.
Dengan melantik Prabowo ke dalam kabinetnya, Jokowi memberikannya tahap pengesahan dan pendedahan serta layanan karpet merah sebagai Menteri Pertahanan dalam perjalanan dari Paris ke Beijing dan penamatan larangan perjalanan de facto Amerika Syarikat pada 2020 apabila beliau melawat Pentagon.
Seramai 9 juta pengikut Instagram Prabowo dapat melihat gambar dari kerja hariannya, diselangi dengan persembahan kucingnya, potret hitam dan putih artistik serta gambar keluarga vintaj.
Ramai anak muda Indonesia telah meminati Prabowo, terutamanya gerakan tariannya yang janggal di khalayak ramai yang telah menjadi tular di TikTok, membantunya memanfaatkan demografi utama itu.
Lebih separuh daripada pengundi Indonesia berumur di bawah 40 tahun di mana penganalisis berpandangan mempunyai pengetahuan yang terhad tentang naratif gelap masa lalu mengenai tentera dan pendakiannya di bawah pemerintahan autokratik Suharto.
"Pasukan Prabowo jelas menggambarkan Prabowo dalam cara yang 'lebih lembut' dalam usaha untuk memenangi pengundi yang belum membuat keputusan.
"Ia adalah perubahan daripada kempen sebelumnya di mana kita telah melihat Prabowo populis nasionalis dan Prabowo yang pro-Islam," kata Ross Tapsell, dari Universiti Kebangsaan Australia.
Dalam satu lagi tanda pengubahsuaian imej ialah dalam wawancara televisyen, Prabowo yang terkenal dengan perangai lagendanya, tampil dengan jenaka dan pemalu.
Merujuk kepada zamannya sebagai askar, Prabowo berkata: "Mungkin persepsi saya ialah saya seorang yang keras, menakutkan. Saya tidak menakutkan sekarang, bukan?"