Pemilu 2024: Prabowo Subianto yakin raih kemenangan
Syafik Shukri Jalil
Februari 11, 2024 17:15 MYT
Februari 11, 2024 17:15 MYT
KUALA LUMPUR: Calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto optimis mampu memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 yang akan berlangsung pada Rabu hadapan.
Menerusi satu temu bual eksklusif bersama Al-Jazeera, Menteri Pertahanan Indonesia itu berkata, keyakinan itu berdasarkan angka dan dapatan di lapangan selain semangat akar umbi yang kuat.
Malah gandingan Gibran Rakabumi Raka itu juga yakin pemilihan pada kali ini akan berakhir dengan hanya satu pusingan.
‘’Semua angka menunjukkan keyakinan itu ditambah dengan semangat daripada akar umbi yang kuat dan angka-angka ini menunjukkan bahawa pemilihan kali ini akan berakhir dengan satu pusingan.
‘’Anak muda hari ini lebih rasional, mereka lebih kritis dan bijak dan mereka tahu menilai mana yang baik atau sebaliknya.
‘’Mereka (anak muda) juga sangat mementingkan masa depan jadi calon yang memiliki strategi dan program yang bagus, pastinya akan mendapat tempat di hati pemilih,’’ katanya.
Selain itu, Prabowo menerusi temu bual itu juga berjanji akan menjadikan ekonomi republik itu lebih dinamik dan mampu berkembang dengan baik.
Malah beliau juga berjanji akan berusaha mengurangkan kadar kemiskinan di negara itu selain menghapuskan kebuluran dan masalah tumbesaran kanak-kanak terbantut.
‘’Apa yang paling penting, saya nak menghapuskan kadar kemiskinan dan menghapuskan masalah kebuluran.
‘’Saya juga ingin menghapuskan masalah tumbesaran kanak-kanak yang terbantut kerana ketika ini dilaporkan terdapat 25 peratus kes dilaporkan di pinggir bandar dan di Jawa Barat. Ketika ini ada kanak-kanak yang tidak mendapat nutrisi yang cukup,’’ tambahnya.
Bercakap mengenai peranan Indonesia di pentas global pula, Prabowo berkata sekiranya diberi mandat, beliau akan memastikan negara itu akan terus menghormati semua negara dan kuasa besar.
‘’Satu kebaikan yang diwarisi daripada kepimpinan terdahulu adalah Indonesia terus mengamalkan dasar berkecuali.
‘’Kita ingin menjaga hubungan baik dengan semua negara dan tidak akan sesekali menyertai sesuatu blok dan ‘’menyerang’’ blok lain kerana kita berkawan dengan semua,’’ ujarnya lagi.
Kira-kira 204 juta rakyat Indonesia akan meraikan pesta demokrasi dalam Pemilu dan Pilpres 2024 pada 14 Februari ini untuk memilih presiden, naib presiden, ahli Perhimpunan Perundingan Rakyat dan wakil untuk badan perundangan tempatan.
Indonesia memulakan kempen pilihan presiden 2024 pada November tahun lalu yang menyaksikan tiga calon bersaing untuk pemilihan pemimpin pada 14 Februari ini.
Persaingan melibatkan bekas jeneral tentera, Prabowo Subianto, bekas gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan.