Pemilu 2024: Pilihan raya paling mencabar selepas Reformasi 1998 - Penganalisis
Irfan Faruqi
Februari 12, 2024 22:43 MYT
Februari 12, 2024 22:43 MYT
KUALA LUMPUR: Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 merupakan pilihan raya paling menarik dan mencabar untuk diperhatikan, selepas Reformasi 1998 di Indonesia.
Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar berkata Pemilu kali ini bukan sahaja menonjolkan persaingan sengit antara calon-calon presiden yang bertanding, bahkan pertembungan cita-cita antara mengekalkan dinasti politik dan kebangkitan aliran perubahan.
“Bercakap mengenai perbezaan sebuah ‘negara kekuasaan’ dan ‘negara hukum’. Ini adalah perdebatan yang sangat hebat.
“Pastinya soal pola etika ini menjadi suatu yang sangat besar, apatah lagi susulan keputusan Mahkamah Perlembagaan yang membenarkan Gibran Rakabuming Raka, anak kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) untuk menjadi calon wakil presiden (Cawapres).
“Ini telah membangkitkan perdebatan yang luar biasa. Belakangan ini telah muncul suara daripada sekurang-kurangnya 60 buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Indonesia yang menggesa Presiden Jokowi kembali ke koridor demokrasi.
“Ini satu pertembungan nilai antara usaha untuk kekalkan amalan sedia ada dan nilai perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Pemilu 2024 terbitan Astro AWANI pada Isnin.
Tambah Johan, Pemilu kali ini secara tidak langsung tertumpu kepada keputusan politik Presiden Jokowi yang memilih untuk bersama Prabowo Subianto (parti Gerindra), berbanding kekal bersama Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P).
“Perdebatan isu etika, moral dan integriti sangat menarik. Ini melibatkan Presiden Jokowi sendiri yang sangat dihormati dengan kadar populariti sehingga 80 peratus.
“Beliau sebelum ini didokong oleh Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang dipimpin oleh Megawati Sukarnoputri. Jokowi tidak menyokong calon PDI-P iaitu Ganjar Pranowo-Mahfud MD.
“Sebaliknya beliau sokong parti Prabowo Subianto yang turut mencalonkan anaknya sebagai Cawapres,” ujarnya.
Lebih 200 juta pemilih akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada 14 Februari akan datang bagi memilih Presiden, Naib Presiden, ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan ahli Dewan Perwakilan Daerah (DPD).
PEMILU 2024: Bagaimana demokrasi Indonesia diuji?