Pemilu 2024: Peluang satu putaran semakin jelas untuk Prabowo-Gibran
Essan Yahya, Fauzi Zin
Februari 9, 2024 18:30 MYT
Februari 9, 2024 18:30 MYT
JAKARTA: Peluang untuk satu putaran atau pusingan bagi Pemilihan Presiden Indonesia (Pilpres) 2024 semakin jelas selepas tinjauan terbaharu meletakkan calon Presiden Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka mendahului dengan 53.5 peratus.
Masih berbaki tujuh hari sebelum pengundian, tinjauan yang dilakukan LSI Denny JA,mencatatkan 21.7 peratus untuk calon Anies-Muhaimin meletakkan mereka di tempat kedua, manakala Ganjar-Mahfud di tempat ketiga dengan 19.2 peratus.
Kajian yang dilakukan dari 26 Januari hingga 6 Februari itu menunjukan 47.9 peratus pemilih Prabowo-Gibran merupakan penyokong tegar manakala 5.6 peratus lagi terdiri daripada pemilih yang berkemungkinan akan berubah sokongan.
Menurut dapatan itu juga, Prabowo-Gibran mendominasi dalam semua segmen umur pemilih dengan jumlah tertinggi bagi pemilih di bawah usia 30 tahun.
Prabowo-Gibran juga unggul di semua wilayah dengan jumlah terbesar di Sulawesi Selatan Sumatera 55.8 peratus, Jawa (51%), Bali-NTB-NTT (56.9%), Kalimantan (59.7%), Sulawesi (65.3%), dan Maluku-Papua (42.7%).
Hasil kajian ini juga mendapati Prabowo-Gibran mendapat sokongan besar daripada pemilih yang beragama Islam dengan 53.3 peratus manakala Anies-Muhaimin 23.5 peratus dan Ganjar-Mahfud sebanyak 17.4 peratus.
Bagi pemilih agama-agama lain, Prabowo-Gibran turut mendahului dengan 55.3 peratus; Ganjar-Mahfud 37.7 peratus dan Anies-Muhaimin dengan 2.4 peratus.
LSI Denny JA melakukan tinjauan bersemuka melibatkan 1,200 responden seluruh Indonesia dengan margin kesilapan sebanyak 2.9 peratus
Jika tiada calon memperoleh undi lebih separuh daripada hampir 205 juta pengundi yang layak, pemilihan kedua akan diadakan pada 26 Jun.
Prabowo bertanding dalam pemilihan presiden sebanyak tiga kali berturut-turut selepas tewas pada 2014 dan 2019 kepada penyandang popular Joko Widodo, atau Jokowi, yang tidak boleh meneruskan penggal ketiga.
Dalam langkah untuk memanfaatkan sokongan bekas pesaingnya, Prabowo memilih anak lelaki Jokowi, 36, Gibran Rakabuming Raka, sebagai pasangannya untuk berkempen bersama.