Pemilu 2024: Orang muda pilih calon mampu baiki kelemahan Undang-Undang Cipta Kerja - Emancipate Indonesia

Irfan Faruqi
Februari 13, 2024 10:00 MYT
Margianta berkata, pengundi mahu memilih calon yang mampu memperbaiki kelemahan dalam Undang-Undang Cipta Kerja.
KUALA LUMPUR: Omnibus Law, Undang-Undang Cipta Kerja yang diluluskan oleh pentadbiran Presiden Indonesia, Joko Widodo menjadi isu tumpuan pekerja, khususnya anak muda.
Pengasas Emancipate Indonesia, Margianta S.J.D. berkata, pengundi mahu memilih calon yang mampu memperbaiki kelemahan dalam undang-undang tersebut yang nyata tidak memberi kelebihan kepada bakat tempatan.
“Omnibus Law, Undang-Undang Cipta Kerja yang merupakan satu usaha untuk merombak perundangan di Indonesia untuk menarik pelaburan dan mencipta pekerjaan.
“Tetapi, hakikatnya di lapangan, pekerja mengeluh kerana Omnibus Law ini tidak mampu mengangkat kuasa beli rakyat sehingga mampu hidup selesa.
“Sebaliknya, peluang pekerjaan lebih sempit akibat tindakan mengambil khidmat pakar luar negara dan kadar upah minimum yang berubah sejak 2015.
“Ini yang menyebabkan berlakunya kebangkitan kelas pekerja di Indonesia yang mengeluh dan mahu pemerintah melaksana satu komitmen bagi memastikan kelas pekerja meraihkan taraf kehidupan selayaknya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Orang muda memilih calon mampu baiki kelemahan Undang-undang Cipta Kerja - Emancipate Indonesia
Menurut Margianta, susulan bimbang mengenai jaminan nasib golongan pekerja, sebuah parti baharu dibentuk yang dianggotai oleh kesatuan-kesatuan pekerja turut bertanding dalam Pemilihan Umum (Pemilu) 2024.
Menariknya, beliau jelaskan ramai dalam kalangan anak muda yang tertarik dengan manifesto yang angkat oleh parti berkenaan.
“Suatu perkara yang menarik dalam pemilihan kali ini apabila sebuah parti baharu ditubuhkan iaitu Parti Buruh. Parti ini dianggotai oleh kesatuan-kesatuan buruh yang terkesan dengan Omnibus Law dan kurangnya peluang pekerjaan.
“Mereka mempertikaikan mengenai wakil suara mereka dalam DPR/DPD, maka mereka tubuh parti politik mereka sendiri.
“Menariknya ramai dalam kalangan orang muda yang tertarik dengan Parti Buruh, khususnya mereka yang tidak ada kerja, tidak dilindungi serta pelatih-pelatih yang tidak dibayar,” ujarnya.
Lebih 200 juta pemilih akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada 14 Februari akan datang bagi memilih Presiden, Naib Presiden, ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan ahli Dewan Perwakilan Daerah (DPD).
Agenda AWANI:PEMILU 2024 | Tentang ekonomi rakyat dan anak muda Indonesia
#PEMILU 2024 #Parti Buruh #Omnibus Law #Undang-undang Cipta Kerja
;