Pemilu 2024: Jutaan hadir kempen akhir, Anies sifatkan “tiada hati yang tidak bergetar”
Fauzi Zin
Februari 10, 2024 14:33 MYT
Februari 10, 2024 14:33 MYT
JAKARTA: Ratusan ribu penyokong calon presiden dan wakil presiden nombor 1, Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar (AMIN) membanjiri Jakarta International Stadium (JIS) di sini bagi menghadiri Kampanye Akbar (kempen terakhir) pada Sabtu.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI, orang ramai mula ‘berkampung’ sejak malam tadi (Jumaat) di perkarangan luar stadium meskipun pintu masuk stadium hanya dibuka pada 4.30 pagi.
Manakala, bagi penyokong yang hadir pada pagi ini mereka perlu berjalan kaki sejauh lebih tiga kilometer susulan kesesakan jalan menuju ke lokasi utama.
Sebelum ini, pasukan lempen calon menjangkakan jumlah kehadiran penyokong mencapai jutaan kehadiran melebihi jumlah kapasiti stadium.
Anies dalam pidato terakhirnya merakamkan tiada kata-kata yang boleh menggambarkan apabila menyaksikan jumlah kehadiran penyokongnya.
“Tidak cukup kata-kata untuk menggambarkan apa yang terlihat, cukup digambarkan kita semua bisa merasakan tidak ada hati yang tidak bergetar menyaksikan jutaan orang memilih untuk datang secara sukarela, dan mereka bukan terpaksa, bukan dibayar,” katanya pada catatan di akhbar bertajuk "Bersatu Berani Berubah”.
Dalam masa yang sama Anies turut berkongsi tentang kesesakan trafik dan orang ramai yang menyebabkan beliau memerlukan dua jam perjalanan dari kawasan tempat beliau menginap.
Sebelum ini, Komisi Pemilihan Umum (KPU) menetapkan tiga pasangan calon presiden dan wakil presiden menjadi peserta Pemilu Presiden dan Wakil Presiden (Pilpres) 2024, iaitu pasangan Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka, dan Ganjar Pranowo-Mahfud Md.
KPU juga telah menetapkan masa kempen berlangsung sehingga 10 Februari, tempoh bertenang tiga hari sebelum hari pengundian pada 14 Februari 2024.