Pemilu 2024: Indonesia perlu tingkat hubungan perniagaan, pelaburan bersama Malaysia - Anies

Shafizan Johari
Februari 14, 2024 16:09 MYT
Calon Presiden nombor satu Anies Baswedan menunjukkan jari yang telah dicelup dakwat selepas mengundi di Tempat Pemungutan Suara 060 Lebak Bulus, Jakarta Selatan sempena Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 bagi Pemilihan Presiden, hari ini. - fotoBERNAMA
JAKARTA: Hubungan perniagaan, pelaburan dan perdagangan antara perusahaan di Malaysia dan Indonesia boleh ditingkatkan lagi.
Calon Presiden Indonesia, Anies Baswedan berkata, selain itu, hubungan dua masyarakat serumpun ini juga boleh diperhebat menerusi bidang kebudayaan dan pendidikan.
“Bergerak ke hadapan kita mahu melihat hubungan yang sudah baik ini terus ditingkatkan, tiada istilah yang menyatakan bahawa hubungan baik ini sudah cukup, (malah) selalu ada yang (boleh) dikerjakan lagi. Kalau ada yang sudah baik, itupun masih boleh ditingkatkan lagi,” kata Anis. ketika ditemui kumpulan wartawan Malaysia di Jakarta, pada Rabu.
Menyentuh soal perpindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Nusantara di Pulau Borneo, Anies yang tidak sependapat dengan usaha berkenaan berkata, alasan perpindahan yang diberikan oleh Kerajaan bahawa Jakarta akan tenggelam tidak boleh diterima.
Tegasnya, terdapat beberapa kota lain yang pernah dan sedang mengalami masalah serupa, tetapi penyelesaian terhadap isu berkenaan bukanlah dengan meninggalkan kota berkenaan, sebaliknya, beliau mahu kerajaan mencari penyelesaian berpanjangan untuk masalah yang dihadapi kota itu.
Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) sebagai ibu negara baharu Republik Indonesia.
Di sebalik pendapat skeptikal, projek itu diteruskan dan sudah menyaksikan beberapa pembangunan infrastruktur.
Malaysia merupakan salah sebuah negara yang sudah menyatakan komitmen pelaburan bagi membantu Indonesia dalam pembangunan bandar baharu itu.
Hari ini, 204 juta pengundi Indonesia keluar untuk menjalankan tanggungjawab mereka dalam meraikan pesta demokrasi di Republik itu.
#PEMILU 2024 #Anies Baswedan #Joko Widodo #Pilpres #Indonesia
;