Pemilu 2024: Gibran terus pulang ke rumah setelah 'coblos', mahu pantau kiraan undi
Agensi
Februari 14, 2024 15:24 MYT
Februari 14, 2024 15:24 MYT
SOLO: Calon Wakil Presiden bagi calon nombor 2, Gibran Rakabuming Raka terus pulang ke rumah selepas menjalankan hak mengundinya di Tempat Pemungutan Suara (TPS) Manahan, Kecamatan Banjarsari, Kota Solo, Jawa Tengah (Jateng), pada Rabu.
Beliau yang juga anak kepada Presiden Joko Widodo (Jokowi) melunaskan tanggungjawab 'mencoblos' (mengundi) itu bersama isterinya, Selvi Ananda pada pukul 11 pagi waktu tempatan.
Kompas.com melaporkan, suasana di pusat membuang undi itu berlangsung dengan lancar memandangkan majoriti warga setempat sudahpun menjalakan proses pembuangan undi sejak awal pagi.
"Ya saya kira semuanya berjalan lancar ya. Tidak apa-apa, kan? Sama saja, (membuang undi) pada sebelah pagi atau siang," kata Gibran apabila ditanya media tentang alasan dirinya hadir ke pusat undi menghampiri waktu tengah hari.
Pasukan kempen Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming bakal berada di Istora Senayan, Jakarta Pusat untuk menyaksikan hasil pengiraan undi, namun Gibran mengakui beliau akan memantau hasil hitungan cepat dari rumahnya di Solo.
"(Ke Istora) Ya nanti lihat saja. Tidak ke mana-mana, pulang ke rumah. (Pantau quick count) dari rumah saja," katanya.