Pemilu 2024: Dua pusat mengundi di Kota Tangerang dilanda banjir, proses pengundian mungkin ditangguh
Agensi
Februari 14, 2024 09:20 MYT
Februari 14, 2024 09:20 MYT
JAKARTA: Dua Tempat Pemungutan Suara (TPS) atau pusat mengundi bagi Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 dilanda banjir.
Memetik laporan CNN Indonesia, TPS 51 dan 52 di Kompleks Perdagangan Ciledug, Kampung Karang Timur, Kota Tangerang dinaiki air sejak awal pagi Rabu.
Menurut Pengerusi TPS 51, Ruby P. Widiarto sejak jam 6 pagi Rabu, air mulai melimpah di pusat pengundian berkenaan dan mencapai paras 50 sentimeter.
Katanya lagi, keadaan ini menyukarkan penduduk untuk datang ke pusat mengundi dan akan ada kemungkinan jadual pengundian di TPS 51 ditangguhkan sementara menunggu situasi banjir reda.
“Nampaknya pelaksanaannya akan ditunda untuk waktu yang belum ditentukan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Ditanya berkenaan sama ada banjir akan melambatkan jadual pengundian, beliau menegaskan pihak TPS 51 sedang menunggu maklumat lanjut daripada Jawatankuasa Pilihan Raya Daerah (PPK).
"Mengenai jadual, belum ada pengesahan daripada PPK. Tetapi jika dilihat kepada syarat-syaratnya, pengundian tidak boleh diadakan. Penduduk juga sukar untuk mengakses pusat mengundi," katanya.
Terdahulu, Selain Kampung Karang Timur, Kota Tangerang, Bandar Demak di Jawa Tengah turut mengalami situasi yang sama apabila ribuan pengundi di bandar itu tidak dapat menunaikan tanggungjawab di Pemilu 2024 susulan TPS yang terlibat ditenggelami air.
Difahamkan situasi banjir di Demak telah menjejaskan 21,000 pengundi di kawasan berkenaan.
Pengundian untuk Pemilu 2024 akan diadakan pada 14 Februari 2024. Manakala, pengiraan undi dan pengiraan semula akan berlangsung dari 15 Februari hingga 20 Mac 2024.