Pemilu 2024 dijangka berlangsung sebanyak dua pusingan - Lingkar Madani

Irfan Faruqi
Februari 7, 2024 21:17 MYT
Ray berkata tidak ada mana-mana calon yang berjaya memperoleh lebih 55 peratus sokongan berdasarkan tinjauan Lembaga Survei Indonesia (LSI). - Instagram @kpu_ri
KUALA LUMPUR: Pemilihan Umum (Pemilu) 2024 dijangka berlangsung sebanyak dua pusingan.
Ini kerana, menurut Pengarah Eksekutif Lingkar Madani, Ray Rangkuti, tidak ada mana-mana calon yang berjaya memperoleh lebih 55 peratus sokongan berdasarkan tinjauan Lembaga Survei Indonesia (LSI).
“Berdasarkan situasi semasa, saya tidak yakin Pemilihan Umum (Pemilu) ini akan berlangsung satu pusingan sahaja. Pertamanya, kerana belum jelas berdasarkan kepada survei mana-mana calon mencapai tahap sokongan lebih 55 peratus.
“Kalau sokongan yang diterima oleh seseorang calon hanya sekitar 51 peratus, kita anggap kadar sokongan sebenar lebih rendah, sekitar 47 peratus. Maka, perlu untuk dilaksanakan pengundian pusingan kedua.
“Tetapi jika ada calon menerima sokongan 55 peratus, bermaksud sokongan sebenar mungkin sekitar 52 peratus, bermaksud Pemilu hanya akan berlangsung sebanyak satu pusingan.
“Sekarang Lembaga Survei Indonesia (LSI) menyatakan calon yang menerima sokongan tertinggi hanya sekitar 50 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Agenda AWANI: PEMILU Indonesia 2024 | Satu Atau Dua Putaran?
Tambah Ray, dalam tempoh 10 hari akan datang kemungkinan untuk berlaku peralihan undi yang besar adalah hampir mustahil.
Situasi ini katanya menggugat keupayaan pasangan Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming untuk mendominasi Pemilu pada pusingan pertama, seterusnya menafikan undian pusingan kedua.
“Di tengah-tengah kecaman terhadap Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan prestasi calon presiden yang juga Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto yang tidak terlalu memberangsangkan, maka saya tidak yakin mereka (Prabowo) akan mendapat sokongan tambahan lima peratus.
“Dalam bacaan saya, Pemilu kali ini akan berlangsung sebanyak dua pusingan,” ujarnya.
Hari pengundian bagi Pemilu 2024 ditetapkan pada 14 Februari 2024.
#PEMILU 2024 #Joko Widodo #Prabowo Subianto #Anies Baswedan #Ganjar Pranowo
;