Pemilu 2024: Dahului sesi kiraan pantas, Gibran mahu buat 'kunjungan hormat' ke Anies dan Ganjar
Agensi
Februari 14, 2024 21:54 MYT
Februari 14, 2024 21:54 MYT
JAKARTA: Gibran Rakabuming Raka yang menjadi Calon Wakil Presiden nombor urutan 2 memberitahu media bahawa beliau mahu melakukan 'sowan' atau kunjungan hormat ke pasangan calon nombor urutan 1, Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar dan pasangan calon nombor urutan 3, Ganjar Pranowo-Mahfud MD.
Kompas.com melaporkan, hasrat Gibran itu disampaikan dalam ucapannya di pusat pemantauan pasukan Prabowo-Gibran di Istora Senayan, Jakarta, pada Rabu malam.
'Sowan' adalah istilah tempatan yang merujuk kepada amalan ziarah yang kerap dilakukan oleh masyarakat Indonesia, khususnya penduduk pulau Jawa. Ia lazimnya dilakukan untuk tujuan kerohanian, dan sering melibatkan acara kunjungan kepada tokoh yang dihormati.
Pada awal malam ini, pasangan Prabowo-Gibran dilihat mendahului Anies dan Ganjar dalam keputusan tidak rasmi iaitu sesi pengiraan pantas (quick survey) oleh beberapa agensi pungutan data.
"Saya juga secara peribadi ingin segera 'sowan' ke paslon (pasangan calon) nombor 1, dan nombor 3," ujar Gibran, yang dipetik dalam laporan itu.
Gibran menjelaskan, pasangan calon lain adalah ibarat saudara, sekali gus mengingatkan agar para penyokongnya tidak membuat provokasi yang tidak matang ke pasangan Anies-Muhaimin dan Ganjar-Mahfud.
"Sekali lagi, bapak, ibu jangan jumawa (bersifat angkuh). Tidak perlu membuli, menjelik-jelikkan pasangan lain ataupun penyokong dari pasangan calon 1 dan 3.
"Kita semua bersaudara. Itu saja. Sekali lagi terima kasih," tambah Gibran.
Sejumlah lembaga survei menyiarkan data bahawa pasangan Prabowo-Gibran unggul dalam sesi kiraan pantas dengan peratusan hampir 57-59 peratus. Lalu diikuti pasangan Anies-Muhaimin di angka 24-25 peratus, dan Ganjar-Mahfud 16-17 peratus.
Hasil kiraan pantas bagaimanapun bukan keputusan rasmi Pemilu. Hasil rasmi adalah apabila keputusan lengkap diumumkan secara langsung oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU).